Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan merubah sasaran pingat di temasya Kuala Lumpur 2017 kepada enam pingat emas berbanding tiga emas seperti yang diumumkan bulan lalu. 

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim ketika dihubungi Sports247 berkata tindakan itu didorong oleh peningkatan ditunjukkan barisan atlet olahraga negara sepanjang tahun ini  selain berpandukan kepada hakikat bahawa Malaysia mendaftarkan atlet olahraga paling ramai untuk mengambil bahagian pada edisi kali ini.

“Saya memantau sendiri perkembangan atlet kita serta atlet negara pencabar, dan berbincang dengan jurulatih jadi saya boleh katakan kita mempunyai kekuatan untuk melakukannya dan enam emas adalah tidak mustahil.

“Saya sangat yakin kita boleh jauh mengatasi pencapaian di Singapura kerana atlet-atlet kita dalam acara lompatan, pecut dan baling tukul besi semuanya berada pada tahap terbaik. Prestasi mereka bertambah baik setelah berlatih dan mengambil bahagian pertandingan di Eropah.

“Kita memang tidak pernah ketepikan peluang mereka sebelum ini sebab itu saya kata tiga emas adalah sasaran awal. Saya akan maklumkan mengenai sasaran baru ini kepada Menteri Belia dan Sukan (YB Khairy Jamaluddin) selepas kita pulang dari Kejohanan Trek dan Padang Asia (pada awal Julai),” kata Karim.  

Bulan lalu, badan induk itu menerima kritikan hebat setelah sekadar meletakkan sasaran tiga pingat emas untuk dibawa pulang meskipun beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan sekali lagi jaguh lompat tinggi kebangsaan Nauraj Singh Randhawa, ‘gergasi’ lempar cakera Irfan Shamsudin dan Hakimi Ismail (lompat kijang) menjadi sandaran wajib menyumbang emas.

Nauraj yang sedang dalam persiapan untuk bertanding di Kejohanan Dunia IAAF pada Julai sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan pada bulan Mac lalu manakala Irfan tiga kali memadam rekod kebangsaan dalam tempoh lima hari ketika menyertai pertandingan di Eropah baru-baru ini.

Dalam acara pecut, Malaysia mempunyai nama-nama hebat untuk dipertaruhkan antaranya Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, raja pecut Terbuka Malaysia 2016, Jonathan Nyepa selain Rayzamshah Wan Sofian (110m berpagar) dan Tan Song Hwa (baling tukul besi) bagi kategori lelaki.

Manakala Zaidatul Husniah Zulkifli yang memperbaharui rekod berusia 24 tahun G.Shanti pada Mac lalu diharap dapat menyerlah dalam acara wanita bersama-sama atlet meningkat naik seperti Shereen Samson Vallabouy, Shahidatun Nadia Mohd Zuki (lompat kijang) serta Grace Wong (baling tukul besi).  – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -