Pengendali skuad Bawah 22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee mengakui kelalaian barisan pertahanan adalah punca pasukannya tewas dalam aksi sulung Jelajah China di Stadium Pusat Sukan Xiangtan, pada Sabtu.

Skuad Projek Sukan Sea negara tewas 0-1 kepada pasukan China B-22 menerusi jaringan seawal minit pertama oleh Xiang Bai Xu walaupun berjaya mengimbangi permainan dan memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan yang diikat 1-1 pada Mac lalu.  

“Ia kelalaian kami, pemain ‘tidur’ pada minit pertama perlawanan dan kita dibolosi gol mudah. Tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati kerana saya jangkakan satu perlawanan sukar namun kita bermain dengan baik terutama di babak kedua. Cuma kita gagal menjaringkan gol.”

“Pemain dapat sesuaikan diri dengan sistem permainan, menunjukkan karakter yang baik, berusaha keras sehingga ke hujung permainan. Itu petanda baik buat kita. Mungkin kalau kita berjaya dapatkan gol penyamaan, rentak permainan berubah.

“Apapun saya akui memang ada banyak aspek lagi perlu diperbaiki, kita akan tingkatkan sepanjang tempoh persahabatan dan kem latihan pusat ini,” kata Kim Swee.

Untuk rekod, Malaysia bertandang ke China dihimpit krisis kecederaan dengan Kim Swee kehilangan khidmat penjaga gol utama Ahmad Syihan Hazmi, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Azriddin Rosli, Nur Syamie Iszuan, Danial Asyraf Abdullah dan Raphi Azizan.

Ini memberi peluang kepada Kim Swee untuk menguji beberapa pemain lain antaranya Ifwat Akmal Che Kassim (penjaga gol), Irfan Zakaria dan Mohamed Syamer Kutty Abba.

Selepas ini, pasukan B-22 negara akan mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan menentang skuad simpanan Guangzhou R&F dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande sebelum pulang ke tanah air pada 16 Jun.

Kim Swee yang dilantik menggantikan Frank Bernhardt pada Mac lalu ketika ini sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok pada Julai, disusuli Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 pada Ogos. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -