Pasukan sepak takraw wanita negara akan memuktamadkan senarai akhir pemain yang akan membawa cabaran di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 sebaik pulang dari menjalani latihan dan menyertai pertandingan di Thailand bulan depan.
Jurulatih, Mohd Fikri Mohd Nor berkata seramai 17 pemain akan diberi peluang untuk memikat panel kejurulatihan sepanjang tempoh dua minggu berada di Hatyai sebelum pihaknya menyenaraikan lapan pemain terbaik.
“Kita akan adakan beberapa perlawanan kompetitif menentang kelab-kelab profesional di selatan Thailand di Hatyai, Trang, Phatthalung selain sertai pertandingan di sana. Thailand menjadi pilihan kita kerana di sana ada beberapa kelab yang boleh menjadi rakan sepelatih, sekaligus meningkatkan keyakinan di kalangan pemain negara.
“Sudah tentunya perlawanan ini penting justeru saya mahu mereka gunakan sebaiknya untuk membuktikan kepada kita, ini peluang terbaik kita menilai kemampuan dan prestasi mereka. Saya yakin pendedahan ini akan memberi manfaat besar kepada pemain-pemain kita,” ujar Mohd Fikri.
Dua tahun lalu di Singapura, pasukan sepak takraw wanita dibarisi Siti Nurzubaidah Che Abdul Wahab, Elly Shahira Rosli, Nurul Izatul Hikmah Zulkifli, Nor Farhana Ismail dan Siti Nor Suhaida Jafri membawa pulang sebutir gangsa menerusi acara regu justeru Fikri meletakkan harapan tinggi agar pencapaian itu dapat diperbaiki kali ini.
“Selain regu, kita lihat potensi juga tinggi dalam acara baru iaitu quadrant. Sekurang-kurangnya kita sasar layak ke final namun kita sedar ia bukan mudah kerana selain Thailand yang sentiasa menjadi pencabar utama, pasukan seperti Myanmar, Vietnam dan Singapura semuanya menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini.
“Apapun saya percaya pasukan kita boleh berikan saingan sengit, mereka bertambah matang dan sudah tentunya mahu melakukan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri,” kata Mohd Fikri lagi.
Bagi ketua pasukan, Siti Norzubaidah yang kembali bersama pasukan setelah tersisih kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebelum ini, dia mengakui ketika ini segalanya tampak positif di kem kebangsaan dan dia bertekad mahu memanfaatkan pengalamannya untuk membantu pasukan negara mencapai sasaran ditetapkan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN