Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan gagal melengkapkan kejuaraan berganda acara pecut di Kejohanan Trek dan Padang Thailand apabila sekadar berpuas hati dengan pingat perak acara 200m, pada Rabu.
Khairul Hafiz yang terdahulu memenangi pingat emas acara 100m pada Isnin dengan catatan masa 10.31s, berkesudahan di tempat kedua tewas kepada pelari tuan rumah, Sittiphon Donpritee setelah merekodkan 21.46s.
Catatan masa itu nyata terlalu jauh di belakang rekod peribadi terbaiknya 21.01s yang dilakukan ketika Khairul Hafiz memenangi pingat perak di Kejohanan Remaja Asia di Vietnam pada tahun lalu.
Tempat ketiga, keempat dan kelima kesemuanya turut menjadi milik atlet negara dengan G.Aravinn Thevar meraih gangsa (21.47s) diikuti Aqil Yasmin (21.55s) dan Jonathan Nyepa (21.68s).
Jurulatih pecut negara, Md Poad Kassim berkata kegagalan Khairul Hafiz adalah kerana pelari itu hilang imbangan pada beberapa meter terakhir perlumbaan.
“Khairul membuktikan dia sudah kembali cergas selepas mengalami kecederaan baru-baru ini, dia hanya perlu lebih serius dalam latihan selepas ini. Walaupun dia gagal raih emas berganda, saya percaya kemenangannya dalam 100m satu petanda positif.
“Catatan 10.31s itu satu catatan yang bagus, saya yakin dia akan lebih pantas selepas ini. Begitu juga dengan Badrul Hisyam (Abdul Manap). Dia juga menunjukkan peningkatan malah catatan masa dilakukannya lebih baik dari di Singapura bulan April lalu,” kata Md Poad.
Badrul Hisyam Abdul Manap yang tidak beraksi dalam acara 100m dan 200m, meraih pingat perak acara 400m dengan catatan masa 47.77s, tewas kepada atlet Sri Lanka, K.Hewa Kumarage (47.55s).
Sementara itu, atlet remaja, Grace Wong mencuri tumpuan di Kompleks Sukan Universiti Thammasat, Bangkok apabila memenangi pingat emas acara lontar tukul besi dengan catatan 57.49m.
Begitupun, ia belum cukup untuk menggembirakan atlet berusia 17 tahun yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Sea Singapura 2015 itu kerana lontaran dilakukannya terlalu jauh dengan rekod kebangsaan 60.99m miliknya yang direkodkan di Korea Selatan, April lalu.
“Ianya berbeza lebih dari tiga meter. Jika saya impikan emas di Sukan Sea Kuala Lumpur, saya perlu lakukan lontaran konsisten melebihi 60m,” ujar pelajar tingkatan empat Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.
Atlet Malaysia lain yang turut menyumbang pingat pada hari ketiga kejohanan itu adalah Jackie Wong (lontar tukul besi lelaki, perak); Norliyana Kamarudin (heptathlon, perak); Nur Fazira Jalaludin (lontar tukul besi wanita, gangsa) dan S.Komalam Shally (200m wanita, gangsa). – OLEH MUHAMMAD AIMAN