Sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia musim 2017, persiapan gah membolehkan mereka dilabel pencabar kejuaraan dan berpotensi merangkul setidak-tidaknya satu daripada tiga trofi dipertandingkan – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.Â
Kini, separuh musim berlalu, sasaran paling realistik adalah cuba untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan – begitulah nasib pasukan berbelanja besar, Melaka United di musim pertama mereka dalam kancah Liga Super.
Bagi memastikan sasaran itu dicapai, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) melantik pengendali baru, Matias Almeida menggantikan Eric Williams yang ditamatkan perkhidmatan gara-gara prestasi hambar pasukan sehinggakan mereka ketika ini terperosok di tangga kedua tercorot.
Bekas jurulatih T-Team kelahiran Portugal itu menandatangani kontrak sehingga berakhir saingan Liga M musim ini bersama Melaka dengan mengetepikan beberapa jurulatih berprofil tinggi tempatan antaranya Datuk K.Rajagobal dan Azraai Khor Abdullah.
Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Yusof Mahadi berkata, “Kita berikan ruang yang luas, peluang yang cukup sehingga akhir musim kepada Matias untuk mengembalikan kecemerlangan pasukan. Tiada syarat kami tetapkan, kalah berturut-turut atau bermain buruk jawatannya tidak terancam. Yang penting, KPI dia adalah Melaka kekal di Liga Super.”
Yusof turut mendedahkan pengalaman jurulatih itu yang pernah membimbing Pinhalnovense, Angrense serta skuad B-16 tahun Benfica adalah punca dia dipilih MUSA.
Matias telahpun berkesempatan menyaksikan barisan pemainnya beraksi buat kali pertama pada Rabu ketika Melaka menewaskan Negeri Sembilan 3-2 dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sebagai memperkasakan pasukan juga, Melaka telah membuat rombakan besar pada barisan pemainnya apabila menggugurkan 10 pemain termasuk kapten pasukan, Ilija Spasojevic serta merekrut lapan wajah baru ketika jendela perpindahan kedua dibuka baru-baru ini.
Pemain lain yang turut digugurkan adalah Akmal Ishaq, Alif Shamsudin, Abdul Taufiq Abdul Haq, Tam Sheang Tsung, Godwin Antwi dan Sergio Aguero manakala Amri Yahyah pula menyertai Selangor, Khairu Azrin Ghazali (Melaka) dan Syed Sobri Syed Mohd (T-Team).
Manakala lapan pemain baru pula adalah Norhakim Isa, Fandi Othman, Nicolas Swirad, Azinee Taib, S.Sivanesan, Marko Simic, Felipe De Almeda Souza dan Jasmin Mecinovic.Â
Melaka akan mengharungi lima perlawanan Liga Super pada Julai iaitu menentang PKNS FC (1 Julai), Kedah (11 Julai), Pulau Pinang (15 Julai), Pahang (22 Julai) dan Sarawak (26 Julai) serta tiga perlawanan Piala Malaysia menentang Kedah (4 Julai), Kelantan (8 Julai), Uitm FC (18 Julai) dan Kedah (29 Julai). – OLEH MUHAMMAD AIMAN