Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masih belum berputus asa di dalam cubaan mereka untuk mendaftarkan pemain dari Perancis, Seydi L’Imam sebagai pemain import baru meskipun rayuan mereka telahpun ditolak oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) sebelum ini.
Dengan saingan Liga Malaysia merangkumi baki aksi Liga Super serta Piala Malaysia kembali bersambung Sabtu ini, Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah berharap badan itu akan mempertimbangkan semula permohonan mereka menyenaraikan L’Imam sebagai pengganti kepada Alessandro Celin yang kerap dibelenggu masalah kecederaan.
“Kita bertekad mahu memberikan cabaran serius apabila saingan kembali bersambung jadi untuk itu kita perlukan sebuah pasukan yang mantap. Kita amat perlukan pemain seperti Imam bagi tujuan itu, kita telah dan sedang berusaha penuhi apa yang FMLLP minta jadi kita harap sangat mereka akan menilai semula rayuan kita.
“Ia satu kerugian buat kita kerana kita telah membawa datang pemain itu sebagai pertukaran di perpindahan kedua tetapi dia tidak dapat digunakan dalam masa sama Alessandro juga tidak dapat menyumbang kerana bergelut dengan kecederaan,” kata Affandi.
Untuk rekod, Kelantan pada bulan Mei lalu telah dikenakan hukuman pemotongan enam mata selain sekatan perpindahan berikutan masalah tunggakan gaji, cukai pendapatan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain dan bekas pemainnya.
Namun mereka diberi kelonggaran untuk mendaftarkan pemain baru seandainya jumlah perbelanjaan untuk membawa masuk pemain baru tidak melebihi jumlah yang diperoleh dari hasil jualan pemain sedia ada – maka sebab itu mereka dibenar mendaftarkan Abou Bkr Al Mel setelah Mohamed Ghaddar dijual ke Johor Darul Takzim.
Cubaan untuk mendaftarkan L’Imam pula tidak berjaya kerana menurut FMLLP ia tidak lagi mematuhi syarat yang mereka tetapkan. Wakil KAFA kemudiannya telah mengadakan pertemuan dengan FMLLP pada 5 Jun bagi menyerahkan dokumen berkaitan dan membuat rayuan.
Mesyuarat Lembaga Pengarah FMLLP kemudiannya hanya bersetuju untuk mengurangkan pemotongan mata kepada tiga mata namun kekal dengan pendirian tidak membenarkan pendaftaran L’Imam kerana impaknya akan lebih besar kepada kewangan KAFA.
Jika tiada perubahan pada keputusan FMLLP, maka Kelantan akan menyandarkan harapan hanya pada tiga import sahaja bagi mengharungi baki saingan. Dua lagi pemain import mereka adalah Mamadou Danso dan Morgaro Gomis.
Aksi pertama skuad juara treble 2012 itu sebaik liga bersambung dari rehat panjang sempena Aidilfitri adalah menentang Sarawak di Kota Bharu pada 1 Julai ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN