Skuad hoki dalam dewan lelaki negara yang akan beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos depan akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain tonggak pertahanan pasukan hoki negara, Najmi Farizal Jazlan.

Jurulatih, Mohd Amin Rahim ketika mengesahkan perkara itu berkata, “Najmi pemain berpengalaman dan merupakan pakar pukulan sudut penalti, kita percaya dengan kehadirannya ia satu suntikan dan mencerahkan lagi peluang kita untuk merebut pingat emas.”

Untuk rekod, Najmi baru-baru ini membantu skuad Malaysia Tigers layak ke Piala Dunia 2018 secara merit hasil pencapaian menduduki tempat keempat di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London.  Dia turut menjaringkan satu gol iaitu ketika skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu menewaskan China 5-1.

Mengenai persiapan pasukan negara, Mohd Amin berkata semuanya berjalan lancar dan berada di landasan tepat justeru mereka sudah bersedia untuk mengalas cabaran memburu emas hoki dalam dewan yang dipertandingkan buat pertama kali di temasya dwitahunan itu.

Keyakinan sama turut disuarakan oleh jurulatih pasukan hoki dalam dewan wanita, Iman Gobinathan yang berpendapat pasukan negara sepatutnya tidak berdepan masalah besar untuk memenangi emas jika prestasi semasa ditunjukkan barisan pemainnya diambil kira.

Tambahnya, skuad wanita negara juga semakin menunjukkan peningkatan setelah muncul naib juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Asia di Doha, Qatar pada April lalu dan sebagai persiapan terakhir, akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Singapura dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Saya cukup berpuas hati dengan disiplin, komitmen dan kesungguhan ditunjukkan setiap pemain ketika latihan. Mereka tekad mahu pastikan sasaran emas dapat dicapai dan kita akan lakukan segala yang terdaya kerana kita mahu Malaysia menduduki ranking nombor satu Asia Tenggara bagi acara hoki dalam dewan wanita, sama seperti skuad hoki padang sekarang,” ujarnya.

Iman menjelaskan cabaran sengit dijangka hadir dari Thailand dan Indonesia kerana dua negara itu sudah lama berkecimpung dalam sukan ini dan berpengalaman di pentas antarabangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -