Jaguh lempar cakera negara, Mohd Irfan Shamsuddin menghadiahkan pingat sulung buat Malaysia di Kejohanan Trek dan Padang Asia ke-22 yang berlangsung di Bhubaneshwar, India apabila memenangi pingat perak, pada Khamis.

Setelah menyaksikan empat balingan pertama kesemuanya tidak mencecah angka 60 meter, atlet berusia 22 tahun itu melakukan lontaran kelima sejauh 60.96m sekaligus memastikan kedudukan podium.

Meskipun catatan itu masih jauh dari rekod kebangsaan miliknya sendiri 62.55m yang dilakukan di Austria pada bulan Mei lalu, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas tetap positif dengan pencapaian Irfan yang konsisten melakukan lontaran melebihi jarak 60m.

“Irfan pertama kali melakukan lontaran melebihi 60m ketika Mei lalu dan sejak itu dia terus  menunjukkan peningkatan dan konsisten dengan lontarannya. Ini membuktikan dia boleh bersaing dengan atlet-atlet terbaik di peringkat Asia dan suntikan buatnya menjelang Sukan SEA,” ujar Zainal.

Pingat emas bagi acara itu dimenangi oleh pemegang rekod Asia, Ehsan Haddadi dari Iran dengan balingan sejauh 64.54m manakala gangsa pula menjadi milik atlet tuan rumah, Vikas Gowda dengan catatan 60.81m.

Irfan adalah antara atlet yang merupakan ‘sandaran wajib’ Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menyumbangkan pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan untuk rekod dia juga adalah penyandang pingat emas sejak dua edisi Sukan SEA yang lalu.

Dalam perkembangan lain, pelari pecut Khairul Hafiz Jantan mara ke separuh akhir acara 100m setelah melakar catatan masa terbaiknya bagi tahun ini, 10.28s – atlet dari Melaka itu muncul sebagai pelari terpantas dari kalangan 36 pelari yang mengambil bahagian di pusingan pertama, membabitkan enam saringan.

Turut mara ke separuh akhir adalah Jonathan Nyepa juga menerusi acara 100m dan Badrul Hisyam Abdul Manap (400m) namun nasib tidak menyebelahi atlet lompat jauh, Noor Shahidatun Nadia Md Zuki yang sekadar berkesudahan di tempat ke-10 dari 13 atlet yang mengambil bahagian. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -