Kemeriahan penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lmpur 2017 disemarakkan lagi dengan pelancaran edisi terhad barangan dan cenderahati temasya oleh dua penaja platinum, Petronas dan Telekom Malaysia Berhad dalam satu majlis di Bukit Jalil, pada Jumaat (21 Julai).
Barangan-barangan tersebut antaranya adalah tumbler air, kipas bateri, tisu basah, payung, beg tali, plush toys RIMAU serta magnet peti sejuk.
Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral YB Khairy Jamaluddin yang menyempurnakan majlis pelancaran berkenaan teruja dengan inisiatif dua syarikat gergasi ini dan menyifatkannya sebagai penting di dalam mengekalkan momentum tinggi ke arah KL2017 seterusnya menyemarakkan lagi sokongan rakyat Malaysia terhadap kontijen negara.
“Saya percaya kolaborasi Petronas dan TM mengeluarkan dan memasarkan barangan cenderahati khas jenama temasya dapat merancakkan dan menyerikan lagi promosi KL2017. Barangan-barangan ini bukan sahaja tanda ingatan untuk dijadikan kenangan tetapi juga amat praktikal buat peminat-peminat yang akan hadir ke lokasi pertandingan,” katanya.
Barangan TM dan Petronas tersebut boleh dibeli dengan mudah di 326 Kedai Mesra terpilih di seluruh negara, selain Twin Tower Gift Shop di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) serta lokasi-lokasi utama temasya seperti di Bukit Jalil.
Sesetengah daripada barangan ini juga boleh didapati secara atas talian di TM Shop atau laman web barangan rasmi KL2017, www.fmstore.com.my. Ianya akan mula dijual mulai 28 Julai 2017 hingga 31 Disember 2017.
Selain cenderahati khas berkenaan, Petronas menerusi cabang pemasarannya, Petronas Dagangan Berhad akan turut memperkenalkan Kad Mesra dengan Touch ‘n Go, serta Gift Card Petronas edisi khas KL 2017 yang boleh didapati di cawangan-cawangan Petronas yang mengambil bahagian di seluruh negara dari 22 Julai hingga 31 Disember 2017.
Menerusi Kad Mesra KL2017, pengguna boleh mendapat tiga kali mata ganjaran Petronas Mesra degan pembelian bahan api Petronas Primax 95 dan 97 bermula 22 Julai hingga ke Hari Sukan Negara yang dijadual berlangsung pada 14 Oktober depan.
Selaku ‘rakan bahan api rasmi’ KL2017, Petronas akan menyediakan Petronas Primax Fuel dan Petronas Dynamic Diesel kepada semua kendeaan rasmi yang digunakan untuk membawa atlet serta pegawai sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.
Manakala TM pula menjadi Penyelia Telekomunikasi Berintegrasi bagi KL 2017 dan TM Team Malaysia pula merupakan kumpulan sorak rasmi bagi kontijen negara dengan jumlah pengikut melebihi 1.2 juta.
Sukan SEA ke-29 akan berlangsung dari 19-30 Disember manakala Sukan Para ASEAN ke-9 pula dari 17-23 September.