Di sebalik persiapan yang berjalan lancar bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan, masih ada kebimbangan terselit di hati ketua jurulatih skuad futsal lelaki negara, Chew Chun Yong.
Setelah membimbing pasukannya mencatat kemenangan besar 8-2 ke atas Kuantan Rangers FC dalam aksi persahabatan pada Jumaat, Chun Yong mengakui aspek utama perlu diatasi ketika ini adalah kecenderungan pemainnya untuk lambat mendapat rentak dan hilang fokus pada lewat permainan.
“Kita mungkin menang besar tetapi keputusan perlawanan tidak boleh dijadikan pengukur. Saya mahu mereka terus mendapat rentak permainan sebaik wisel ditiup, garang dari sepak mula. Bukannya bermula dengan perlahan kemudian mendapat rentak selepas dua atau tiga minit.
“Tekanan akan berkurang jika kita mendapat rentak awal. Sepertimana perlawanan tadi, selepas kita dapat gol kedua, lawan mula tertekan dan mendorong mereka melakukan kesilapan. Kemudian barulah gol demi gol menyusul tetapi saya lihat penyudah juga perlu lebih dipertajam.
“Dan apabila sudah mendahului selesa, sangat penting untuk tidak hilang fokus. Sedikit sahaja kelekaan di penghujung perlawanan tadi, kita benarkan lawan mendapat gol kedua, ini antara yang perlu dielakkan. Selebihnya, saya percaya kita dalam landasan tepat,” ujarnya.
Aksi di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam itu menyaksikan kedudukan terikat 1-1 di babak awal perlawanan sebelum skuad kebangsaan menambah dua jaringan untuk mendahului 3-1 di separuh masa pertama.
Penampilan pemain import pertama dalam sejarah futsal tanah air, Rico Zulkarnain yang juga salah seorang pemain futsal terbaik dunia bersama kelab dari Pahang itu jelas mencuri tumpuan ratusan peminat futsal yang hadir menyaksikan perlawanan namun kelibatnya tidak berjaya membantu Kuantan Rangers untuk memberikan tentangan lebih sengit.
Sebaliknya Malaysia terus garang menambah tiga jaringan di awal separuh masa kedua manakala dua lagi jaringan terhasil pada minit-minit akhir perlawanan.
Chun Yong menjelaskan dia akan memuktamadkan senarai akhir pemain yang akan membawa cabaran di KL2017 setelah pulang dari mengharungi tiga aksi persahabatan menentang pasukan berstatus kelab di Bangkok, Thailand dari 26 Julai – 2 Ogos depan.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia, Dato’ Rosmadi Ismail berkata skuad futsal negara disasarkan membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dari KL2017.
Bagi Kuantan Rangers pula, mereka ketika ini dalam persiapan untuk mengharungi baki aksi Liga Futsal Brunei di mana tiga lagi aksi menanti mereka bulan ini iaitu menentang juara bertahan Kota Junior FC (28 Julai), Shah United (29 Julai) dan pasukan pembangunan B-20 Brunei (30 Julai).
Skuad bimbingan Faizul Abdul Ghaffar itu ketika ini berada di tangga keenam dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri dari tiga perlawanan yang telah diharungi. – OLEH MUAHMMAD AIMAN