Perkhabaran gembira buat skuad bolasepak bawah 22 tahun negara apabila menerima insentif daripada Persatuan Bolasepak Malaysia susulan kejayaan melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun yang akan berlangsung tahun depan di China.
Keputusan yang dibuat oleh FAM dibawha pimpinan Tunku Ismail Sultan Ibrahim jelas mahu menyuntik semangat juang pemain pemain dan barisan kejurulatihan kendalian Datuk Ong Kim Swee yang seringkali runsing apabila gagal mendapat kerjasama sepenuhnya untuk menjalankan latihan pusat.
Kejayaan seperti itu turut berlaku di ibu negara dimana anak muda yang sedang meningkat naik, Khairul Hafiz Jantan menempa nama ketika di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 18 Julai lalu apabila memadamkan rekod berusi 49 tahun yang dipegang oleh Tan Sri Dr M Jegathesan dalam acara 200 meter.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjanjikan ganjaran untuk Khairul dengan nilai amaun yang dianggarkan tidak kurang daripada RM 5000.
Persoalannya, dimana keprihatinan kerajaan negeri yang tampak masih membisu tentang kejayaan Khairul yang juga pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter.
Hakikatnya, rekod yang diperbaharui mungkin hanya sekadar peringkat kebangsaan semata mata berbanding kejayaan atlet lain seperti Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly, Cheong Jun Hoong dan skuad bolasepak bawah 22 tahun negara.
Namun, setidak tidaknya hargai perjuangan dan perit jerih mereka yang bersusah payah membuktikan permata baru sukan olahraga bakal menyinar.
Duit bukan segalanya, setidak tidaknya ia mampu membantu malah menjadi penyuntik semangat kepada atlet muda ini, malah memberi satu mesej mudah, perjuangan mereka sedang diperhatikan.
Tidak mustahil, selain Khairul Hafiz Jantan, kem olahraga negara sedang mempersiapkan diri untuk melakar satu sejarah baru dalam arena sukan negara, meraih emas dalam acara 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter di Sukan SEA ke 29 nanti.
Segalanya bergantung kepada atlet dan kejurulatihan yang giat melakukan persiapan, pengurusan samada diperingkat persatuan, negeri sehinggalah peringkat kebangsaan juga perlu memainkan peranan dalam memberi semangat kepada mereka. – OLEH KU MOHD LUFTI