Kejayaan bersejarah menamatkan saingan Piala Gothia di Gothenburg, Sweden minggu lalu di tempat ketiga menjadi pembakar semangat buat Sekolah Sukan Negeri Sembilan, SMK Za’ba untuk terus memperkasakan pembangunan bolasepak mereka.

Piala Gothia adalah kejohanan remaja tahunan terbesar dunia yang membabitkan penyertaan lebih dari 1,700 pasukan bagi pelbagai peringkat umur dari lebih 80 buah negara.

SMK Za’ba yang beraksi dalam kategori B-14 dengan menggunakan nama Za’ba FC menduduki tempat ketiga setelah langkahan cemerlang mereka tersekat di separuh akhir, tewas 1-2 kepada wakil Brazil, Pequeninos Do Jockey.

Pequeninos kemudiannya muncul juara dengan menewaskan akademi bolasepak dari Ghana, Lizzy Football Club 2-0 dalam aksi final yang telah berlangsung pada 23 Julai.

 

Jurulatih pasukan, Mohd Azuha Abdul Ghapar berkata mereka mempertaruhkan barisan pemain sama yang beraksi di 100 PLUS Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia (KPM B-14) tahun ini dan menyifatkan pencapaian ini adalah usaha semua pihak termasuklah KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) serta Menteri Besar Negeri Sembilan yang mahu memartabatkan pembangunan peringkat akar umbi.

“Kita akan terus mencungkil dan mengetengahkan lebih ramai bakat-bakat cilik yang berpotensi mengharumkan nama negara kerana kita tahu SMK Za’ba tidak pernah ketandusan bakat dan tidak pernah ketinggalan di dalam mengetengahkan pemain-pemain yang berkualiti. Terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.

Untuk rekod, SMK Za’ba layak beraksi di Piala Gothia kali ini setelah mencatat kemenangan 4-2  ke atas SM Dato’ Abdul Samad dari Ipoh menerusi penentuan penalti dalam aksi final pusingan kelayakan Piala Gothia di Malaysia yang turut membabitkan 10 pasukan lain.

Tahun ini adalah kali kelima SMK Za’ba beraksi di Piala Gothia setelah turut membawa cabaran pada tahun 2012, 2013 (pasukan wanita), 2014 dan 2015 dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah mara sehingga ke pusingan ketiga.

Dalam saingan Liga Super KPM B-14, SMK Za’ba ketika ini menduduki tangga kesembilan dengan mengumpul tujuh mata setelah tamat lapan perlawanan dan peluang mereka memburu tempat ke separuh akhir sudahpun tertutup. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -