Malaysia terus kempunan untuk mendakap gelaran sulung acara berpasukan wanita di Kejohanan Skuash Remaja Dunia setelah tewas 0-2 kepada Mesir dalam aksi final di Tauringa, New Zealand pada Sabtu.
Pasukan negara yang mara ke final setelah menyingkirkan England di separuh akhir turun dengan hasrat melakar satu lagi kejutan namun mendapati Mesir – pilihan utama kejohanan terlalu kuat untuk disaingi sekaligus terpaksa berpuas hati dengan pencapaian selaku naib juara buat kali ketiga.
Mata pertama buat Mesir hadir menerusi Hania El Hammamy yang tampil dengan permainan bertenaga untuk menewaskan jaguh remaja negara yang berada di ranking 59 dunia, S. Sivasangari (gambar utama) dengan keputusan 3-0 (11-8, 11-8, 6-11 dan 11-9).
Tugas berat mencari mata penyamaan kemudiannya dipikul Andrea Lee dan pemain itu nyata gagal menterjemahkan prestasi terbaiknya ketika berdepan Rowan Reda Elaraby yang baru sahaja bergelar juara remaja dunia pada minggu lalu.
Pemain berusia 18 tahun itu bermula dengan agak goyah menyaksikannya tewas dua set pertama 4-11, 4-11. Meskipun cuba bangkit dengan memenangi set ketiga 11-9, Andrea gagal menghalang Elaraby dari memenangi set keempat 11-7 sekaligus mengesahkan kemenangan buat Mesir.
Ia adalah kejuaraan kelapan buat Mesir dalam acara berpasukan wanita. – OLEH MUHAMMAD AIMAN