Menteri Belia dan Sukan, Brig Jen YB Khairy Jamaluddin menasihatkan atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor agar akur dengan nasihat pakar perubatan yang tidak membenarkannya beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Pemegang rekod kebangsaan itu digugurkan jawatankuasa pemilihan kerana laporan perubatan menunjukkan dia belum pulih sepenuhnya dari kecederaan otot paha kiri yang dialami ketika cuba mengangkat bebanan seberat 190 kilogram (kg) dalam sesi latihan di China pada Jun lalu.
Begitupun, Hafifi pada Isnin memuatnaik sebuah video di facebook miliknya sebagai membuktikan bahawa dia sudahpun pulih dengan mengangkat bebanan 200 kg. Ia sekaligus menunjukkan betapa atlet itu kecewa di atas pengugurannya itu. Â
Khairy berkata beliau faham dengan kekecewaan Hafifi yang sebelum ini begitu teruja mahu membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu, namun menjelaskan keputusan dibuat pakar adalah demi memastikan agar kecederaan dialaminya tidak bertambah teruk.
“Laporan dari ISN (Institut Sukan Negara) menyatakan kecederaan itu serius. Pandangan doktor pakar adalah beliau tidak boleh bertanding di Sukan SEA. Saya tahu semalam Hafifi ada tunjuk dia masih boleh angkat bebanan tetapi kita kena percaya kepada pakar.
“Adakalanya pakar perubatan buat keputusan untuk menyelamatkan atlet itu dari kecederaan lebih berat. Mungkin dia rasa dia boleh lakukan, tapi ini berdasarkan penilaian doktor, melalui imbasan dan sebagainya yang menunjukkan kecederaan itu serius. Kalau masih cuba bertanding, boleh menjejaskan karier beliau.
“Kita tidak buat keputusan dengan sewenangnya, tetapi pandangan pakar dan ISN telahpun disampaikan kepada saya. Saya tidak mahu sesiapa tuduh bahawa ini bukan keputusan yang berasaskan kepada penilaian professional.
“Walau apapun dia cuba buktikan di facebook dan sebagainya, hakikatnya memang dia alami kecederaan. Saya tahu dia kecewa tidak dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri, dengan kita menjadi tuan rumah. Tapi ini untuk masa depan dia,” kata Khairy.
Khairy menyatakan kepercayaan bahawa atlet kelahiran Terengganu itu akan tampil lebih kuat dan bermotivasi bagi menghadapi temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia sekaligus mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Glasgow 2014. – OLEH MUHAMMAD AIMAN