Skuad bolasepak B-22 kebangsaan mendapat suntikan semangat awal bagi menjayakan misi memburu emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.Â
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu menerima sumbangan RM4 juta dari Sultan Johor dan setiausaha agung badan induk itu , Dato’ Hamidin Mohd Amin berkata jumlah itu termasuk bonus kepada pasukan bimbingan Dato’ Ong Kim Swee di atas kejayaan layak secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 di China tahun depan.Â
Bonus ini adalah tambahan kepada jumlah RM6,000 yang akan diterima setiap 22 pemain dan pegawai pasukan mengikut peruntukkan FAM sepertimana dimaklumkan Hamidin sebelum ini.Â
Bulan lalu, skuad B-22 negara mengetepikan segala keraguan mengenai kredibiliti mereka apabila mengesahkan tempat di pusingan akhir setelah muncul juara Kumpulan H pusingan kelayakan di Bangkok dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Indonesia dan Mongolia.Â
Di Sukan SEA KL2017, Malaysia diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama Brunei, Myanmar, Laos dan Singapura.Â
Kali terakhir skuad negara memenangi ibu segala pingat emas ini adalah pada edisi 2011 di Indonesia setelah menundukkan tuan rumah menerusi penentuan penalti.Â
Cabaran Malaysia di Myanmar 2013 tersekat di separuh akhir manakala di Singapura dua tahun lalu gagal melepasi peringkat kumpulan.Â
Thailand muncul juara kedua-dua edisi itu dan skuad bimbingan Worawut Srimaka itu adalah pilihan mempertahankan emas sekali lagi di KL2017. – OLEH MUHAMMAD AIMAN