MPC dan IBC bakal menerima kehadiran sejumlah 2,933 media, yang terdiri daripada wartawan, jurugambar, wartawan TV dan jurukamera serta pasukan hos penyiar (HB). Kredit Foto – www.asiana.my

SUKAN SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (turut dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 atau KL2017) kini mula menyambut kedatangan para pengamal media apabila Pusat Media Utama (MPC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) bagi temasya sukan tersebut mula dibuka secara rasminya pada hari ini, 10 Ogos 2017.

Kedua-dua MPC dan IBC terletak di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Jalan Duta, Kuala Lumpur yang baru sahaja dibina. Kedua-duanya ditempatkan berdekatan bagi memudahkan urusan sesama media.

MPC dan IBC bakal menerima kehadiran sejumlah 2,933 media, yang terdiri daripada wartawan, jurugambar, wartawan TV dan jurukamera serta pasukan hos penyiar (HB). Ini menjadikan kumpulan media yang akan membuat liputan bagi edisi kali ini adalah hampir tiga kali ganda berbanding pada Sukan SEA di Singapura pada tahun 2015 (SG15). Media yang terlibat bukan sahaja daripada dalam negara atau rantau ini sahaja, malah juga media antarabangsa seperti Agency France Presse (AFP), Reuters, Associated Press (AP), European Pressphoto Agency (EPA), Getty Images, American Eyes Press, Al Jazeera dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya, terdapat 744 stesen kerja yang disediakan untuk rakan media di kawasan seluas lebih kurang 35,000 kaki persegi. Antara kemudahan yang telah disediakan untuk para media adalah sokongan perkhidmatan kamera yang disediakan oleh Sony, Canon dan Nikon untuk para jurugambar.

Sementara itu, IBC pula akan menempatkan sembilan penyiar utama daripada empat negara. Mewakili Malaysia adalah RTM sebagai Hos Penyiar dan Astro Arena serta Media Prima yang memegang status sebagai Penyiar Rasmi. Manakala penyiar lain adalah TVRI dan SCTV dari Indonesia, TPT dari Thailand, VTV dan HTV dari Vietnam serta Mediacorp dari Singapura.

Bagi produksi siaran langsung sepanjang temasya, RTM, Astro Arena dan Media Prima akan bekerja rapat dengan pasukan produksi dari Mediacorp, TPT, SCTV, NEP dan GForce.

Seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin sebelum ini, IBC bakal menyiarkan siaran langsung bagi 28 displin sukan di lebih daripada 8 saluran, sekurang-kurangnya di Malaysia sahaja, yang telah didekasikan khas untuk temasya KL2017. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menjangkakan tempoh siaran sebanyak 30 jam sehari yang bakal dibawakan sepanjang KL2017 berlangsung.

Acara pembukaan rasmi MPC dan IBC hari ini telah disempurnakan oleh YB Brig. Jen. Khairy sambil turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Dato’ Seri Zolkples Embong dan Ketua Pegawai Operasi Sekretariat MASOC, Enchik Shaiful Subhan bin Zahrin.

Dalam ucapannya hari ini, YB Brig. Jen. Khairy turut mengambil kesempatan untuk merakamkan rasa penghargaan dan menekankan kepentingan media dalam temasya besar sebegini. “Setakat ini, pihak media telah memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk – dari laporan sehinggalah pendapat yang telah diberikan – yang amat baik sekali kepada MASOC dan KBS. Kami amat menghargai sokongan yang telah anda berikan kepada kami semua. Tanpa bantuan dari pihak media, sudah pastinya, semangat bangkit bersama yang sedang kita saksikan – dari Larian Obor yang mendapat sambutan hangat sehinggalah sesetengah tiket yang telah habis dijual – tidak akan berlaku,” kata beliau.

Selain menjadi hab komunikasi bagi KL2017, MITEC juga merupakan antara kluster utama yang akan menjadi gelanggang perlawanan bagi lapan acara sukan bagi temasya ini iaitu tinju, lawan pedang, gimnastik, hoki dalam dewan, muay, ping pong, bola tampar dan angkat berat.

KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.

- Advertisement -