Pengendali skuad bolasepak B-22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee pada hari ini mengumumkan senarai akhir 20 pemain yang diberi kepercayaan untuk mengalas cabaran di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang bermula Isnin ini.
Seramai 14 pemain beraksi di pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Bangkok bulan lalu dikekalkan Kim Swee termasuklah N.Thanabalan yang mengalami kecederaan tatkala enam pemain iaitu Safawi Rasid, Haziq Nadzli (JDT), S.Kumaahran, Syamer Kutty Abba (P.Pinang) serta Matt Davies dan Norazam Azih (Pahang) berjaya merebut semula tempat mereka di dalam skuad.
Turut berada dalam senarai adalah penyerang muda Kedah berusia 18 tahun, Akhyar Rashid.
“Thanabalan telah menjalani imbasan MRI dan dijangka tidak ambil masa untuk cergas sepenuhnya. Saya jangka dia akan main sekurangnya 30 minit ketika menentang Singapura dan masa penuh menentang Myanmar.
“Begitu juga Kumaahran, dia sempat pulih tepat pada waktu dan tiada kebimbangan mengenai kecergasannya,” kata Kim Swee pada sidang media ditemani Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Dato’ Hamidin Amin.
Sementara itu, lapan pemain yang digugurkan Kim Swee adalah Dominic Tan, Danial Ashraff Abdullah, Raphi Azizan, Sean Eugene Selvaraj, Tommy Mawat Bada, Ahmad Azriddin Rosli, Ahmad Khairil Anuar Zamri dan penjaga gol Amierul Hakimi Awang.
“Bukan mudah, sepanjang pengalaman saya empat kali bawa pasukan Sukan Sea, ini paling sukar kerana semua lapan pemain yang digugurkan ada kredibiliti mereka. Saya perlu buat pilihan terbaik dalam masa singkat dengan menilai pelbagai faktor.
“Amierul, walaupun digugurkan dia tetap akan bersama pasukan. Kalau ada kecederaan pada mana-mana dua penjaga gol dia akan terus menjadi pengganti. Peraturan membenarkan hanya penjaga gol yang mengalami kecederaan serius untuk digantikan,” tambah jurulatih berusia 45 tahun itu.
Malaysia yang memburu pingat emas selepas kali terakhir memenanginya pada 2011 akan membuka tirai Sukan Sea dengan menentang Brunei pada Isnin di Stadium Shah Alam. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
Â
SENARAI 20 PEMAIN
PENJAGA GOL: Ifwat Akmal Chek Kassim, Haziq Nadzli
PERTAHANAN: Ariff Farhan Md Isa, Adib Zainudin, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Syazwan Zaipol Bahari
TENGAH: Amirul Hisyam Awang Kechik, Syamer Kutty Abba, Nor Azam Azih, Daniel Amir Norhisham, Syazwan Andik Ishak, Matt Davies, Syahmi Safari
PENYERANG: Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Jafri Firdaus Chew, N.Thanabalan, S.Kumaahran