Dua jaringan pemain gantian di separuh masa kedua membantu Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi bolasepak Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sebentar tadi.
Disaksikan lebih 60,000 penyokong di Stadium Shah Alam, skuad B-22 bimbingan Dato’ Ong Kim Swee sekali lagi dikerah bekerja keras sebelum dapat mengesahkan kemenangan.
Kim Swee membuat enam pertukaran di dalam kesebelasan utama yang menewaskan Brunei 2-1 dalam aksi pembukaan Isnin lalu dan ianya jelas mempengaruhi rentak permainan skuad negara.
Tidak banyak gerakan menarik tercipta di separuh masa pertama sehinggalah minit ke-37 apabila Singapura memecah kebuntuan menerusi rembatan jarak jauh Muhammad Amiruldin Muhammad Nodin berpunca kegagalan pertahanan Malaysia mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Malaysia hampir menyamakan kedudukan pada minit akhir separuh masa pertama namun tendangan percuma Safawi Rasid sekadar mengegar palang.
Bersambung separuh masa kedua, Kim Swee memasukkan penyerang N.Thanabalan dan pemain tengah Norazam Azim sebagai menggantikan Amirul Hisyam Awang Kechik dan Syahmi Safari.
Pertukaran itu nyata membuahkan hasil, minit ke-68 Norazam menyamakan kedudukan setelah menyempurnakan hantaran Safawi.
Gol itu meniup semangat pasukan negara untuk terus melancarkan serangan bertali arus dan berjaya menambah satu lagi jaringan berselang lima minit kemudian menerusi N.Thanabalan yang kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan buat Malaysia menyaksikan mereka mengumpul enam mata dan berada di tangga kedua Kumpulan A manakala Singapura yang tewas buat kali kedua menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
DATO ONG KIM SWEE :
Ya, pertukaran telah memainkan peranan penting. Kemasukan Norazam dan Thanabalan merubah momentum kita secara keseluruhan di separuh masa kedua dan kita berjaya dapat rentak permainan. Kita gagal bermain dengan baik di separuh masa pertama. Berlaku kesilapan berulang, kita hilang konsentrasi dan kita membenarkan mereka dapat jaringan melalui kesilapan itu. Tapi baguslah ianya berlaku di awal permainan, sekurangnya kita tahu apa mahu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya yang lebih penting.
RICHARD TARDY :
Kami bermula dengan baik tetapi saya perlu akui pemain sudah mula keletihan selepas sejam perlawanan. Ada pemain mengalami kecederaan dan tidak berada di tahap baik selepas aksi menentang Myanmar. Kami gagal menandingi fizikal pemain Malaysia. Malaysia mendapat semangat selepas gol pertama itu dan ianya sukar menyekat momentum mereka selepas itu.