29th SEA Games KL2017 Memanah Archery - Indonesia

Indonesia menutup tirai sukan Ā memanah di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan memenangi pingat emas acara Recurve Berpasukan Campuran menerusi gandingan Diananda Choirunisa-Riau Ega Agata Salsabilla. Ā 

Gandingan Diananda-Riau mempamer aksi cemerlang untuk menewaskan pasangan Malaysia, Khairul Anuar Mohamad-Nur Aliya Ghapar dengan kiraan 5-3 dalam perlawanan akhir.

Menurut Riau, “Ini kemenangan yang cukup manis, tetapi kami perlu akui ia satu perlawanan sukar, paling sukar kerana faktor angin kuat dan kami tahu pemanah lelaki mereka (Khairul) antara pencabar paling kuat bagi kategori lelaki.Ā 

“Mulai set ketiga nampak angin sudah begitu kuat, kami sedikit goyah, bidikan ada tersasar tetapi kami bernasib baik lawan juga berdepan situasi sama dan gagal mengambil kesempatan menyamakan kedudukan. Ini sekaligus memberikan kami kelebihan.”

Bagi Khairul pula, “Saya akui tidak berada pada tahap terbaik kerana mengalami demam sejak seminggu dan ia jejaskan konsentrasi. Saya hilang mood untuk bermain tetapi gagahkan diri kerana mahu menyumbang sesuatu kepada negara.Ā 

Memang emas sasaran saya tapi setakat ini rezeki saya. Apapun saya tetap gembira kerana telah mara ke final dalam ketiga-tiga acara yang saya sertai dan saya anggap ini sebagai pencapaian terbaik.”

Kejayaan Diananda-Riau menyaksikan Indonesia mempertahankan emas acara itu yang dimenangi di Singapura 2015 dan menutup tirai memanah KL 2017 dengan pencapaian empat emas, satu perak dan satu gangsa.

Manakala bagi Malaysia, mereka mengulangi pencapaian lima emas, tiga perak dan dua gangsa di Singapura 2015 selain memperbaharui beberapa rekod kejohanan dan rekod kebangsaan.Ā 

Sementara itu, gandingan Vietnam Anh Chu Duc-Nguyen Thi Phuong mengesahkan gangsa setelah menewaskan pasangan dari Filipina Florante Matan-Nicole Marie Tagle dengan kiraan 6-2 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.Ā 

Ā 

Final:

INDONESIA 5-3 MALAYSIAĀ 

3/4:

VIETNAM 6-2 FILIPINA

- Advertisement -