Dua pemain skuash Malaysia, S. Sivasangari dan Rachel Arnold menepati ramalan mara ke final acara perseorangan wanita di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.Â
Dalam aksi separuh akhir berlangsung di Pusat Skuash Nasional Bukit Jalil pada Ahad (27 Ogos), Sivasangari yang juga pilihan utama mempamer penguasaan gelanggang yang mantap untuk mengetepikan pemain Filipina, Jemyca Aribado 11-6, 11-5, 11-6.Â
“Saya bermula dengan baik dan itu membantu saya untuk terus mengekalkan momentum. Mungkin di set ketiga saya sedikit mengambil mudah dan memberi peluang kepada lawan untuk mengejar. Saya cukup teruja untuk turun berdepan Rachel di final,” ujar Sivasangari.Â
Manakala Rachel yang merupakan penyandang pingat emas pula mara setelah mudah menewaskan pemain Singapura, Sneha Sivakumar 11-6, 11-5, 11-6 dalam aksi berlangsung 26 minit.
“Saya masih perlu bekerja keras, saya bermula dengan sedikit goyah kerana ambil masa untuk sesuaikan diri dengan gelanggang. Selepas saya mendapat rentak ianya menjadi mudah. Aksi final nanti pastinya bukan mudah, saya cuba sebaik mungkin untuk pertahankan emas,” ujar Rachel.Â
Dua tahun lalu di Singapura, pingat emas dan perak kedua-duanya menjadi milik Malaysia setelah Rachel menundukkan G.Vanessa Raj dalam aksi final. – OLEH MUHAMMAD AIMAN