Pertembungan Malaysia dan Thailand dalam aksi final bolasepak Sukan Sea Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam malam esok (29 Ogos) ibarat buku bertemu ruas. 
Demikian pendapat pemain pertahanan Malaysia, Adam Nor Azlin dan juga pemain tengah Thailand, Chaowart Veerachart. 
Menurut Adam, moral di kem negara cukup memuncak ketika ini dan mereka sudah bersedia menterjemahkan prestasi terbaik bagi merampas semula ibu segala emas meskipun menyedari reputasi hebat Thailand yang memburu kejuaraan ketiga berturut-turut dan ke-16 secara keseluruhan. 
“Orang takkan ingat kalau kita naib juara, mereka hanya akan kenang apabila sejarah tercipta, bila menang emas. Jadi hanya itu sasaran kami.  Kita tahu Thailand sebuah pasukan kuat, tetapi untuk mereka kekalkan kejuaraan adalah lagi susah berbanding memenanginya. 
“Sejak lima perlawanan lalu kehadiran penyokong cukup menakjubkan dan telah banyak membantu melonjakkan semangat kami. Saya percaya malam esok ia sekali lagi akan membangkitkan keghairahan kami satu pasukan untuk berjuang habis-habisan dan tutup tirai KL2017 dengan kejayaan,” kata pemain Selangor itu. 
Bagi Chaowat, Malaysia sudah jauh bertambah baik sejak ditewaskan 3-0 oleh Thailand di pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 bulan lalu justeru menjangkakan tentangan sengit dari skuad Dato’ Ong Kim Swee itu. 
“Mereka ada kelebihan penyokong sendiri dan telah menang kesemua lima perlawanan. Tetapi kami sudah biasa hadapi situasi ini, tidak gentar. Apa yang penting kami akan bermain cara kami dan perlu fokus, kami yakin emas dapat digenggam sekali lagi,” ujar Chaowat. 
Dua tahun lalu di Singapura, Thailand menang emas Sukan SEA buat kali ke-15 setelah menewaskan Myanmar 3-0 dalam aksi final manakala Malaysia pula kali terakhir menang emas pada 2011 di Palembang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -