Strategi Bojan Hodak menurunkan hanya pemain yang cergas sepenuhnya membuahkan hasil tatkala pasukan negara membenam Singapura 3-1 dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia Tenggara (AFF) B-19 di Myanmar pada Rabu.
Aksi di Stadium Aung San itu menyaksikan pengendali dari Croatia itu mengambil keputusan berani dengan melakukan tujuh pertukaran di dalam kesebelasan utama yang menewaskan Laos 4-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Isnin.
“Ianya sukar untuk bermain dua perlawanan dalam masa tiga hari, malah cuaca juga sangat panas memandangkan kita bermain jam 3 petang. Jadi saya membuat penggiliran pemain, membuat tujuh pertukaran dan mereka menentukan keputusan perlawanan ini. Kita tampil lebih bertenaga berbanding Singapura terutama di separuh masa kedua,” kata Bojan.
Pada perlawanan itu, aksi babak pertama berkesudahan tanpa jaringan. Pasukan negara berada di depan menerusi jaringan pemain Perlis, Zafuan Azeman pada minit ke-58 dan menggandakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi Ammar Akhmar Alias.
Pemain Johor Darul Takzim, Hadi Fayyadh kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-89 sebelum Singapura menjaringkan gol saguhati menerusi Katz Saul Ellison pada masa kecederaan.
Malaysia ketika ini menerajui carta Kumpulan A dengan enam mata dan lawan mereka yang seterusnya adalah Timor Leste pada Jumaat, Kemboja pada Ahad dan Thailand pada Selasa depan.
Tahun lalu, Malaysia di bawah bimbingan Frank Bernhardt gagal melangkah melepasi peringkat kumpulan setelah tewas 1-3 kepada tuan rumah Vietnam dan diaibkan 2-3 oleh Timor Leste. Mereka hanya menang ke atas Filipina (5-0) dan Singapura (2-1).
Bojan yang dilantik sebagai jurulatih baru skuad B-19 bulan lalu menjadikan kejohanan ini sebagai satu daripada persiapan untuk beraksi di kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan dari 31 Oktober – 8 November depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN