Skuad ping pong paralimpik negara meletakkan sasaran untuk memenangi dua emas di temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 yang akan bermula 17 September depan.
Dua emas itu disasarkan menerusi menerusi acara perseorangan dan berpasukan kelas 9 (masalah keseimbangan ringan) menerusi gandingan atlet berpengalaman luas seperti Ting Ing Hock (52 tahun) dan Hong Chin Sing (49 tahun) serta tenaga muda, Chee Chao Ming (20 tahun)
Pengurus pasukan, Shamsul Azha Mohd Yusof berkata, “Sasaran ini diletakkan setelah meneliti pelbagai aspek termasuk kekuatan kita dan pihak lawan. Saya yakin pengalaman dimiliki Ing Hock dan Chin Sing serta semangat Chao Ming, sasaran itu boleh dicapai.
“Kita juga ada enam lagi pemain muda yang berpotensi menyumbang pingat, tetapi tiada sasaran khusus terhadap mereka kerana kita tidak mahu beri mereka tekanan.”
Skuad Ping Pong di temasya Para ASEAN kali ini akan membariskan seramai 25 pemain terdiri daripada 18 lelaki dan tujuh wanita.
Dua tahun lalu di Singapura, ping pong menyumbang dua pingat emas menerusi perseorangan lelaki Koh Zhi Liang serta berpasukan lelaki menerusi gandingan Koh Zhi Liang dan Ing Hock, kedua-duanya kategori kelas 9.
Sementara itu, Ing Hock yang juga terlibat dalam barisan kejurulatihan tekad mahu menyumbang dua pingat emas kepada kontijen negara sebelum menamatkan perjalanan 14 tahun kariernya sebagai atlet.
“Ini mungkin penampilan terakhir saya (sebagai atlet), saya mahu menyumbang sesuatu kepada negara dan saya optimis dua emas tidak mustahil. Setelah dipilih menjadi jurulatih (2015), fokus saya adalah melahirkan lebih ramai jaguh ping pong paralimpik bertaraf dunia.
“Difahamkan belum pernah ada atlet dari Malaysia yang bertanding di Para ASEAN sebagai atlet dan jurulatih. Ini bukan satu tugas mudah kerana saya perlu pandai membahagikan masa untuk melatih atlet dan membuat latihan sendiri,” katanya.
Sepanjang penyertaan di pentas Para ASEAN, Ing Hock telah menyumbangkan sebanyak 13 pingat emas kepada negara termasuklah lima emas di edisi Manila 2005.
Ping Pong di Para ASEAN KL 2017 akan berlangsung selama tujuh hari dari 17-23 September bertempat di Mitec dengan 27 emas dipertandingkan.