Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian; Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘B’ B-14 dan SSN Kedah, SMK Tunku Anum melengkapkan senarai empat pasukan yang akan beraksi di separuh akhir Piala Liga  Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM B-14) 2017.

Tiga pasukan itu menyertai SSMP ‘A’ B-14 yang telahpun mara lebih awal ke separuh akhir setelah mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam aksi terakhir Liga Super dan Liga Perdana yang berlangsung Ahad. 

SMK Mutiara Impian mengesahkan tempat mereka selaku naib juara Liga Super dengan 23 mata setelah menundukkan SSN Pahang, SMK Seberang Temerloh 3-0 di Temerloh.

Gol buat skuad digelar Black Tigers itu dijaringkan Irfan Hakimi Mohd Khairul pada minit ke-25, Athari Aqmar Farhan pada minit ke-65 dan Fizar Fikrie Asri pada minit ke-69.

Jurulatih Mutiara Impian, Faqhri Sobri berkata, “Ia perlawanan yang cukup mendebarkan kerana kita wajib menang perlawanan ini, tetapi dalam masa sama saya tidak pernah meragui kredibiliti pemain saya. Saya tahu mereka boleh menang cuma kita sedikit lambat mendapat rentak permainan. Pujian buat mereka kerana melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”

Dalam aksi berlangsung di Kangar, SSMP ‘A’ B-14 bimbingan Effendi Malek mencatat kemenangan kesembilan dengan menewaskan SSN Perlis, SMK Syed Hassan 2-1 dan mengakhiri saingan selaku juara Liga Super dengan 28 mata.

Sementara itu, dalam aksi Liga Perdana, SSMP ‘B’ B-14 mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan penuh bergaya setelah membelasah MSS Putrajaya 13-0 di Stadium Mini Pancarona, Putrajaya. 

Pasukan itu mendahului 10-0 di separuh masa menerusi lima jaringan Mohd Sapiee Ashri (m-1, 12, 21, 22, 35), tiga jaringan Syukur Fariz Januri (m-30, 32, 34) serta satu jaringan masing-masing oleh Badrol Erfan Badrol Hisyam (m-24) dan Ilham Aqil Nadzri (m-28).

Tiga lagi jaringan menyusul di babak kedua menerusi Muhammad Idham Mohd pada minit ke-43 dan 45 serta Syahmir Norhisyam pada minit ke-51 sekaligus membolehkan SSMP ‘B’ B-14 muncul juara Liga Perdana dengan 21 mata.

Tunku Anum yang mengumpul 20 mata pula menghela nafas lega untuk mara selaku naib juara Liga Perdana kerana kemaraan mereka dibantu oleh kekalahan 0-1 SSN Kelantan, SMK Putera di tangan SSN Perak, SMK Gunung Rapat.

Aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung secara timbal balik pada 15 dan 23 September akan menyaksikan SSMP ‘A’ B-14 menentang Tunku Anum manakala SSMP ‘B’ B-14 pula menentang Mutiara Impian. 

 

KEPUTUSAN PIALA LIGA KPM B-14 (LIGA SUPER)

 

SMK Bukit Indah (Akademi JDT)             3

SMK Presint 14 (1) (Akademi Felda)        1

 

SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang)   0      

SMK Mutiara Impian (SSN P.Pinang)       3

 

SMK Za’ba (SSN N.Sembilan)                  3      

SMK Seri Titiwangsa (SSN K.Lumpur)      1

 

SMK Syed Hassan (SSN Perlis)                1

SSMP ‘A’ B-14                                        2      

 

 

KEPUTUSAN PIALA LIGA KPM B-14 (LIGA PERDANA)

 

SMK Putera (SSN Kelantan)                    0

SMK Gunung Rapat (SSN Perak)             1

 

MSS Putrajaya                                       0

SSMP ‘B’ B-14                                        13

 

SMK Seksyen 11 (SSN Selangor)            1

SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor)          2

        

SMK Datuk Peter Mojuntin (SSN Sabah)  1

SMK Kem Terendak (Akademi ATM)          0

- Advertisement -