Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak mengakui pertemuan menentang Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan A di Kejohanan Persekutuan Asia Tenggara (AFF) B-18 pada Selasa, adalah cabaran sebenar buat barisan pemainnya.
Skuad muda negara tidak berdepan masalah besar untuk menang kesemua empat perlawanan terdahulu menentang Laos, Singapura, Timor Leste dan Kemboja sekaligus mengesahkan tempat di separuh akhir namun Bojan berkata menentang Thailand adalah perlawanan yang berbeza sepenuhnya.
“Saya percaya ia satu perlawanan yang akan berlangsung sengit, mengambil kira kedua-dua pasukan telah menang kesemua empat perlawanan dan kini kedudukan juara kumpulan menjadi pertaruhan.
“Semua pun tahu Thailand adalah lawan yang lebih kuat berbanding empat pasukan yang telah kita tewaskan, jadi sudah tentu pendekatan untuk perlawanan ini adalah berbeza namun kita tetap turun dengan mentaliti sama iaitu mahu menang walau siapapun lawan yang kita tentang,” kata Bojan.
Tambah bekas jurulatih Kelantan dan Johor Darul Takzim itu, “Kita telah membuat persiapan yang terbaik, dan telah berpeluang menyaksikan beberapa perlawanan melibatkan pasukan Thailand, jadi kita telah kenalpasti serba sedikit kekuatan dan kelemahan mereka.
“Saya sudah beritahu pemain aspek yang boleh dimanfaatkan dan kini bergantung kepada bagaimana pemain terjemahkannya di atas padang. Mereka perlu bijak menangani tekanan, mencipta peluang dan mencari jalan menewaskan Thailand.
“Pemain sudah melaksanakan tugas dengan baik menentang empat pasukan sebelum ini dan mereka sudah tidak sabar untuk uji kemampuan pula dengan satu daripada pasukan terbaik Asia Tenggara.”Â
Untuk rekod, sepertimana pasukan negara, skuad gajah perang itu juga mencatat empat kemenangan berturut-turut namun kedua-dua pasukan yang ketika ini mengumpul 12 mata dipisahkan menerusi beza jaringan. –Â OLEH MUHAMMAD AIMANÂ