Juara bertahan, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu, SMK Bukit Nenas diikat 2-2 oleh SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R dalam aksi separuh akhir pertama Liga Piala Remaja KPM-FAM 2017 yang berlangsung di Jitra.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mencari bekalan untuk menghadapi aksi timbal balik pada 23 September depan di Setiu walaupun kelebihan mungkin sedikit memihak kepada Bukit Nenas yang pulang dengan dua gol dari tempat lawan.Â
Aksi di padang Tunku Anum di Tok Jalal itu menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi Aiman Afif Md Afizul pada minit ke-25.
Bukit Nenas bimbingan Zainudin Md Zain bangkit menjaringkan dua gol menerusi Wan Muhammad Badrul Muhayat pada minit ke-32 dan Zulfikri Muhammad pada minit ke-43 untuk mendahului 2-1 di separuh masa pertama.
Begitupun, Mohd Afif Nadzri menyamakan kedudukan buat Tunku Anum pada minit ke-55 sekaligus menghidupkan peluang buat pasukan itu yang merupakan juara 2010, 2011 dan 2012 untuk mengintai aksi final pertama selepas edisi 2013.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir di Simpang Ampat, SSN Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian meledak lima jaringan di separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas SSN Melaka, SMK Seri Kota.
Beraksi di atas padang becak berikutan hujan lebat sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan mempamer aksi seimbang di babak pertama yang menyaksikan keputusan berakhir seri tanpa jaringan.
Kurang 30 saat bermula separuh masa kedua, Mutiara Impian membuka jaringan menerusi Akif Iqraiz Zuhairi dan dua minit kemudian kedudukan menjadi 2-0 hasil sentuhan Aiman Zaidi.
Skuad bimbingan Noraffendi Taib itu semakin garang apabila menambah jaringan ketiga sekali lagi menerusi Akif Iqraiz yang bijak melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-52.
Khairul Azri Ismail mengecilkan jurang pada minit ke-60 buat Seri Kota namun ianya gagal menyemarakkan kebangkitan mereka sebaliknya Mutiara Impian terus unggul dengan menambah dua lagi jaringan menerusi sepakan percuma Fitri Adha Hassan pada minit ke-66 dan jaringan sendiri Aiman Irfan Azman pada minit ke-81.
Menurut Noraffendi, “45 minit pertama kami turun berhati-hati, tapi masih tergopoh-gapah, bermain tidak tenang, masih buat beberapa kesilapan mudah. Ketika rehat, saya tekankan kepada mereka betulkan sentuhan pertama, hantaran, dan taktikal akan datang dengan sendiri.
“Jadi di separuh masa kedua, kita berjaya perbaiki aspek tersebut, banyak membuat hantaran lintang dan penyerang juga berada di tempat sepatutnya. Semua pemain bekerja keras dan tunjukkan atitud yang baik. Hasilnya kita dapat gol demi gol.”
Kelebihan empat gol menjelang aksi di Melaka minggu depan menyaksikan Mutiara Impian atau dikenali sebagai Black Tigers semakin hampir untuk mara ke final pertama mereka selepas kali terakhir melakukannya pada 2012.Â