Indonesia mengungguli saingan hari pertama olahraga di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 apabila memenangi sembilan daripada 24 pingat emas yang dipertandingkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada hari yang turut menyaksikan sebanyak 3 rekod kejohanan diperbaharui.
Antara yang menjadi tumpuan adalah kejayaan Putri Aulia yang memenangi emas 100m T13 (masalah penglihatan) bukan sahaja dengan memperbaharui rekod kejohanan tetapi turut menewaskan penyandang emas, Felicia Mikat dari Malaysia yang sekadar berpuas hati dengan gangsa.
Pelari itu tiba di garisan penamat dengan catatan masa 12.66s, mengatasi rekod terdahulu 13.49s milik pelari Thailand, Suphanee Prawat yang dilakukan pada edisi 2009 di Kuala Lumpur.
“Kejayaan ini buat seluruh rakyat Indonesia yang tidak putus memberi sokongan, sudah tentunya satu kemenangan manis untuk menang emas dengan tewaskan penyandang emas di tempatnya sendiri. Apapun kesemua mereka bagus dan telah memberi saingan sengit,” ujar Putri Aulia.
Pingat perak acara itu menjadi milik rakan senegaranya Ni Made Arianti yang melakukan catatan masa 13.04s.
Turut memenangi emas dengan memperbaharui rekod kejohanan adalah Endang Sari Sitoru yang mengungguli acara pecut 100 T12 (cacat intelektual). Endang melakukan catatan masa 13.07, memperbaharui rekod lama kejohanan 13.12s milik Sitorus Enang dari Thailand.
Pingat perak dimenangi Tanomwong Suniporn dari Thailand dengan catatan 13.34s manakala gangsa menjadi milik Ng Ngoc Quynh Tram (14.33s).
Karisma Evi Tiaran pula memperbaharui rekod kejohanan dalam laluan memenangi pingat emas acara lompat jauh T44 dengan catatan 4.19m. Vet Chantha dari Kemboja meraih perak dengan catatan 4.01m manakala Lai Thi Ngoc Anh memenangi gangsa dengan catatan 3.76m.
Selain itu, Indonesia mempertahankan pingat emas dalam acara 100m T11 (masalah penglihatan) menerusi Abdul Halim Dalimunte dengan catatan masa 11.54s. Pelari itu menewaskan dua atlet Thailand, Watbok Peerapon yang meraih perak serta pemenang gangsa, Songphinit Supachai.
Setiyo Budihartanto juga mempertahankan pingat emasnya dalam acara lompat jauh T46 (masalah intelektual) dengan catatan 6.87m, mengatasi atlet Malaysia Eryanto Bahtiar yang berkesudahan selaku pemenang perak dengan catatan 6.22m dan Sirimongkhol Chaiwat dari Thailand.
Sapto Yogo Purnomo pula menyumbang emas dengan mengungguli acara 100m T38 dengan catatan masa 11.76s, mengatasi pelari Thailand, Nathayod Chaikhan dan Mohamad Erwan dari Malaysia.
Dalam pada itu, Thailand yang memenangi 30 pingat emas olahraga di Para ASEAN Singapura bermula dengan memenangi enam pingat emas.
Tumpuan sudah tentunya terarah kepada kejayaan Boonsri Pichai mempertahankan pingat emas acara lontar peluru F11/12 (masalah penglihatan) dengan catatan 11.14m, menewaskan dua rakan senegara K. Roongserekul yang meraih perak dan Wongngoen Arnon yang meraih gangsa.
Turut mempertahankan emas, Pongsakorn Paeyo yang memenangi acara 800m T53 (kecacatan anggota) dengan catatan masa 1:45.85s, mengatasi dua rakan senegara J. Saksiripong dan Pichet Krungget.
Malaysia turut cemerlang meraih enam emas pada hari pertama, manakala Vietnam memenangi dua dan satu menjadi milik Filipina.
Emas tunggal Filipina disumbangkan oleh Cendy Asusano menerusi acara merejam lembing wanita F54/55 dengan rejaman sejauh 13.04m. Pingat perak menjadi milik rakan senegara Jesebel Tordecila dengan 12.8m manakala gangsa dimenangi atlet Vietnam Ngo Thi Lan Thanh (12.66m).
Olahraga pada hari kedua (19 September) akan mempertandingkan 26 pingat emas untuk dimenangi.