TINGGAL 24 jam lagi bagi Abu Samah Borhan untuk merealisasikan impiannya untuk memenangi bukan satu tetapi dua pingat emas pada Sukan Para ASEAN bagi acara tenis kerusi roda di Pusat Tenis Nasional Jalan Duta pada Khamis (21 Sept).
Pemain berusia 32 tahun itu?,? yang lumpuh daripada bahagian pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya pada 2006, berharap dapat menamatkan kemarau emas pada Sukan Para di depan penyokong sendiri. Kali terakhir Malaysia memenangi emas kategori kerusi roda ialah pada Sukan Para 2011.
Berkedudukan ? ranking ke-46 dunia, pemain kelahiran Selangor itu akan berdepan dengan Suthi Khlongrua dari Thailand dalam perlawanan akhir pada pagi Khamis (21 Sept) dan pada sebelah petang akan bergandingan dengan Ariffahmi Zaquan Ariffin untuk perlawanan akhir beregu menentang Suthi Khlongrua-Wittaya Peemee.
Pasangan Malaysia itu tewas 3-6, 5-7 kepada Suthi-Wittaya dalam perlawanan terakhir sepusingan pada Rabu. Walaupun tewas, Abu Samah dan Ariffahmi menduduki tempat kedua di belakang pasangan Thailand itu dan mereka akan bertemu sekali lagi untuk menentukan pingat emas.
Pada Selasa, Abu Samah dan Ariffahmi menewaskan pasangan Thai, Bonjob Suwan-Sunthorn Sridaeng 6-1, 6-3.
Malaysia juga berpeluang untuk memenangi emas ketiga apabila Azman Hasan layak ke final perseorangan quad berikutan kemenangan 6-0, 6-2 ke atas Nattaporn Taosrisakul dari Thailand. Beliau dijadualkan bertemu Sombut Yampapha, juga daripada Thailand, untuk menentukan pingat emas.
Bagaimanapun, Malaysia memenangi pingat gangsa menerusi pasangan beregu Mohd Yusshazwan Yusoff-Mohd Firdaus Ibrahim yang menewaskan pasangan Thai, Bonjob Suwan-Sunthorn Sridaeng 7-5, 6-4 dalam perlawanan yang berlangsung selama 49 minit.
APA KATA MEREKA:
“Perlawanan hari ini menentang Suthi-Wittaya ialah sama seperti perlawanan persahabatan dan tidak memberi kesan memandangkan kedua-dua pasukan layak ke final.” – Abu Samah Borhan (Pemain Malaysia)