Johor Darul Takzim (JDT) menjulang trofi baru Liga Super dengan penuh bergaya setelah menundukkan Kelantan 3-0 di hadapan penyokong sendiri di Stadium Larkin, pada Rabu.Â
Walaupun bermula dengan kegagalan Mohamed Ghaddar menyempurnakan penalti pada minit ke-12, Harimau Selatan memastikan malam pesta mereka tidak terjejas apabila mengesahkan kemenangan melalui jaringan S.Kunalan pada minit ke-20, Gonzalo Cabrera pada minit ke-37 dan Safiq Rahim (m-57).Â
JDT merupakan pasukan pertama untuk menjulang trofi baru ini yang diperkenalkan beberapa hari lalu. Ianya diperbuat dari campuran perak, tembaga dan emas putih 24k dengan nama pemenang akan diukir di bawah trofi.Â
Kekalahan buat Kelantan yang beraksi perlawanan pertama di bawah kepimpinan Bibi Ramjani menyaksikan mereka berada di kedudukan kesepuluh dan terus bergelut di zon bahaya.Â
Dengan 18 mata, Kelantan hanya perlu satu mata mengatasi pasukan tangga kesebelas Sarawak justeru menjadikan persaingan mengelak dari tersingkir ke Liga Premier musim depan semakin sengit antara empat pasukan termasuk T-Team dan Melaka.
Dalam pada itu, Sarawak terlepas peluang keluar dari zon relegasi setelah tunduk 0-3 kepada Pahang di Stadium Darulmakmur.Â
Pahang bimbingan Ahmad Shaharudin Rosdi yang sekadar membariskan pemain simpanan beroleh jaringan menerusi R. Kogileswaran pada minit ke-23 manakala Christie Jayaseelan menjaringkan dua gol pada minit ke-28 dan 42.
Kemenangan menyaksikan Pahang mengumpul 36 mata dan mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua liga.Â
Melaka pula memastikan misi kekal dalam Liga Super terus berada dalam landasan tepat setelah membenam Perak 3-1 di Stadium Hang Jebat.Â
Pasukan bimbingan Eduardo Almeida itu beroleh jaringan menerusi Marko Simic, Jeon Woo Young dan Felipe De Souza. Mereka kini mengumpul 22 mata dan berada di kedudukan kesembilan.Â
Dalam pada itu, T-Team mencatat kemenangan penting 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Negeri Batu Kawan untuk terus menyalakan peluang kekal dalam Liga Super namun kekalahan buat skuad Harimau Kumbang itu menyaksikan mereka tersingkir ke Liga Premier.Â
PKNS FC pula menyentap hasrat Selangor untuk mengintai kedudukan tiga terbaik apabila melakar kemenangan 2-1 di Stadium Selayang menerusi jaringan Shahrul Azhar Ture dan Patrick Ronaldinho.
Kekalahan menyaksikan Selangor kekal di tangga kelima dengan 30 mata, tiga mata di belakang Felda United yang menghidupkan peluang untuk menamatkan saingan liga selaku naib juara menerusi kemenangan 3-1 ke atas Kedah di Darul Aman. – OLEH MUHAMMAD AIMAN