Hatrik jaringan penyerang Zulfikri Muhamad membantu Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu, SMK Bukit Nenas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R dalam aksi separuh akhir kedua Piala Liga Remaja KPM-FAM B-17 seterusnya melangkah ke aksi final.
Ini adalah kali keempat dalam tempoh lima tahun pasukan bimbingan Zainudin Md Zain itu melangkah ke perlawanan akhir setelah turut melakukannya ketika bergelar juara pada 2013, 2014 dan 2016.
Seri 2-2 pada perlawanan pertama minggu lalu, Bukit Nenas melayani kunjungan Tunku Anum di Setiu dengan babak awal permainan berlangsung seimbang tatkala kedua-dua pasukan berbalas serangan dan saling mencipta peluang.
Zulfikri meletakkan Bukit Nenas di hadapan pada minit ke-21 namun kedudukan itu hanya bertahan enam minit setelah Ahmad Irfan Mohd Noor menyamakan kedudukan buat Tunku Anum dan kedudukan 1-1 kekal sehingga berakhir separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Bukit Nenas yang menjulang trofi musim lalu dengan menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) tampil lebih dominan dan kembali merebut pendahuluan menerusi Hairiey Hakim Mamat pada minit ke-59.
Tidak berputus asa, Tunku Anum cuba bangkit untuk kembali dalam permainan dengan memperkemas permainan namun pertahanan tuan rumah ampuh bertahan dan bijak menutup segala ruang.
Keghairahan Tunku Anum, juara tiga kali berturut-turut pada 2010, 2011 dan 2012 memburu gol penyamaan mendedahkan pertahanan mereka kepada bahaya dan ia dimanfaatkan Zulfikri untuk meledak gol ketiga buat Bukit Nenas pada minit ke-71.
Pemain itu sekali lagi memahat nama dalam carta penjaring dengan melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan sekaligus membolehkan Bukit Nenas mara dengan agregat 6-3.
Dalam satu lagi perlawanan, SSN Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian tidak bermasalah untuk mengesahkan tempat di final dengan menyingkirkan SSN Melaka, SMK Seri Kota.
Pasukan bimbingan Noraffendi Taib itu yang membawa bekalan selesa empat gol hasil kemenangan 5-1 di separuh akhir pertama, mara dengan agregat 7-3 setelah perlawanan timbal balik di Melaka berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.
Ameer Sedadi meletakkan skuad dengan jolokan Black Tigers itu di depan pada minit kelima sebelum Luqmanul Hakeem Norizam mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-29.
Mutiara Impian kembali mendahului pada minit ke-52 menerusi Asyraaf Izal namun Khairul Azri Ismail memastikan perlawanan berakhir seri menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-89.
Perlawanan akhir antara Bukit Nenas dan Mutiara Impian akan berlangsung pada 30 September depan di Stadium Mini SSMTMI, Johor.