Penguasaan pasukan dari Australia, Oliver’s real Food Racing dalam saingan Jelajah Malaysia 2017 semakin lebar apabila berjaya mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu  keseluruhan selepas tamat tiga peringkat perlumbaan.

Peringkat ketiga dari Kuala Kangsar ke Kulim, Kedah dikuasai secara berseorangan pelumba kelahiran Afrika Selatan, Brendan Davids.

Kayuhannya sejak awal perlumbaan ternyata sukar untuk diekori rapat 88 pelumba lain, hanya 19 pelumba sahaja yang mengekori rapat apabila melakukan breakaway diawal perlumbaan untuk membentuk kelompok pendahulu.

Brendon mula meningkatkan kayuhan selepas zon pecutan di KM 43.5 di Lenggong selepas kelompok pendahulu dipimpin rakan sepasukan, Jack Sutton.

Pelumba berusia 23 tahun ini tidak memberi peluang kepada pesaing pesaingnya apabila membolot mata maksimum di dua pendakian di Bukit Sumpitan (CAT 3) dan Bukit Ijok (CAT 4) serta dua zon pecutan di Selama dan Serdang.

“Perlumbaan hari ini cukup mencabar khsususnya di dua pendakian yang tinggi dan sukar, saya mengambil keputusan untuk melakukan breakaway bersama sama 20 pelumba keseluruhan.

“Dipenghujung perlumbaan, saya melakukan henjutan untuk ke garisan penamat ketika di 10km terakhir dan hanya menumpukan untuk memenangi kejuaraan peringkat, jersi kuning adalah bonus untuk saya,”kata Brendan.

Beliau menamatkan perlumbaan peringkat ketiga secara berseorangan dengan catatan masa 3 jam 20 minit 15 saat.

Tempat kedua milik pelumba pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi yang ketinggalan dua minit 16 saat dibelakang Brendon manakala Aiman Cahyadi melengkapkan podium selaku pemenang tempat ketiga.

“Ketika pendakian saya ketinggalan sedikit tetapi berjaya mengejar semula di 40 km terakhir. Jangkaan awal saya adalah perlumbaan akan berakhir dengan penamat tetapi sebaliknya.

“Saya gunakan pengalaman sebagai pelumba dalam acara ujian masa untuk melakukan henjutan di enam kilometer terakhir,”kata Fauzan.

Pemenang pingat emas acara ujian masa berpasukan (TTT) di Sukan SEA ke 29 Ogos lalu menamatkan peringkat kedua semalam di tangga ketiga dibelakang pelumba Terengganu Cycling (TSG) Mohd Adiq Hussainie Othman.

Kejayaan pertama Brendon dalam kariernya sebagai pelumba lebuhraya selepas beralih daripada sukan Mountain Bike (MTB) nyata membuahkan hasil apabila menaiki podium sebanyak dua kali selepas memenangi jersi Polka Dot (Raja Bukit) dan kuning (pendahulu keseluruhan).

Brendon mengumpul 10 mata dalam kategori Raja Bukit dibezakan dengan 3 mata didepan pencabar dari 7 Eleven Roadbike, Felipe Marcelo.

Manakala dalam kedudukan pelumba keseluruhan, Brendon mengumpul 10 jam 31 minit 29 saat untuk berada di tangga teratas, dibezakan 1 minit 2 saat dengan rakan sepasukan Ryan Thomas dan 1 minit 4 saat didepan Rustom Lim (7 Eleven Roadbikes).

Tiada perubahan bagi tiga lagi jersi, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki kekal menyarung jersi Hijau (Raja Pecut) manakala Ryan Thomas masih menyarung jersi Kelabu (Pelumba Muda Terbaik) serta Muhammad Zawawi Azman dengan jersi Merah (Pelumba Terbaik Malaysia).

 

Keputusan Peringkat Ketiga Jelajah Malaysia 2017

Kuala Kangsar (Perak) ke Kulim (Kedah) (141.5KM)

  1. Brendon Davids (OLI) – 3:20:15
  2. Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (PDM) – 3:22:31
  3. Aiman Cahyadi (TSC) – 3:22:34
  4. Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (TSG) – 3:22:36
  5. Mohamad Izzat Helmi Abdul Halil (TSC) – 3:22:36

 

Kedudukan Jersi

Kuning : Brendon Davids (OLI)

Hijau : Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (TSG)

Polka Dot : Brendon Davids (OLI)

Kelabu : Ryan Thomas (OLI)

Merah : Muhammad Zawawi Azman (TSC)

 

 

- Advertisement -