Kelantan dan Selangor selangkah sahaja lagi untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Emas Raja-Raja 2017 setelah masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi suku akhir pertama yang berlangsung pada Sabtu.
Begitupun, kedua-dua pasukan masih belum boleh menarik nafas lega setelah terpaksa berpuas hati membawa bekalan tipis satu jaringan untuk aksi timbal balik yang dijadual berlangsung pada 14 Oktober depan.
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, juara 12 kali Kelantan yang membariskan pemain skuad Liga FAM, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar raya Islam (MPKB-BRI) menewaskan Felda United 2-1.
Setelah kedudukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Mohd Masri Asyraf Samsudin menceriakan lebih 500 penyokong tuan rumah dengan menanduk masuk hantaran rakan sepasukan pada minit ke-54.
Penyerang, Wan Aliff Jasmi kemudiannya menggandakan kelebihan buat skuad bimbingan Kamaruddin Mohamad pada minit ke-81 setelah percubaannya hasil umpanan Mohd Masri menewaskan Amirul Ashraf Abdul Rahman di gawang Felda.
Felda yang dibimbing Shaiful Amin Abdul Ghani bagaimanapun memastikan mereka masih kekal dalam saingan apabila menjaringkan gol sagu hati dua minit kemudian menerusi Arriefahmi Mohd Azam yang menghukum kelekaan pertahanan Kelantan.
Aksi di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pula menyaksikan Selangor turut dikerah bekerja keras sebelum memastikan kemenangan 2-1 ke atas Perlis.
Selangor bimbingan Azhar Sharif menguasai babak awal permainan dan mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Syamim Alif pada minit ke-20 serta penalti yang disempurnakan oleh R.Thivagar pada minit ke-40.
Perlis bagaimanapun bangkit mengimbangi permainan di separuh masa kedua dan Qhairil Azwan Asri berjaya merapatkan defisit jaringan pada masa kecederaan buat skuad kendalian Suhairi Abdul Karim itu.
Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium MMU Cyberjaya, Putrajaya dan Pulau Pinang sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan. – OLEH MUHD AIMAN