Dua pasukan yang beraksi di final Piala Malaysia 2017, Kedah dan Johor Darul Takzim masing masing diberi peruntukkan tiket perlawanan keseluruhan berjumlah 70 000 keping secara sama rata untuk dijual kepada penyokong.
Sejumlah 30,750 keping tiket termasuk 750 keping untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, diagihkan kepada finalis Piala Malaysia bagi aksi terakhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 4 November depan.
Tiket berkenaan akan mula dijual pada 9 pagi di kaunter Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Nov ini, dengan kadar RM50 sekeping bagi dewasa dan RM5 sekeping bagi kanak-kanak.
Ketua Unit Pertandingan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, baki 10,500 keping tiket termasuk 500 keping tiket untuk kanak-kanak akan dijual secara dalam talian di laman sesawang www.tickethotline.com.my pada 30 Oktober ini bermula 9 pagi.
“Pada mesyuarat pertama hari ini, kita turut menjemput kelab penyokong Kedah dan JDT membincangkan proses pengagihan tiket dengan telus bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan untuk mendapatkan tiket bagi memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing pada 4 Nov ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hari ini.
Tambahnya lagi, buat julung kalinya, FMLLP bekerjasama dengan MPI Generali Insurans Berhad dimana pembeli tiket serta para undangan yang menyaksikan final Piala Malaysia, mempunyai perlindungan insurans.
“Sekiranya pembeli tiket terlibat dalam kemalangan 12 jam sebelum sepak mula dan selepas 12 jam berakhirnya perlawanan, mereka boleh membuat tuntutan insurans namun mereka perlu mengemukakan tiket yang sah kepada FMLLP,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata pemeriksaan ketat di semua pintu masuk stadium pada hari perlawanan akan dilaksanakan.
Bagaimanapun penyokong Kedah dan JDT dibenarkan membawa sebanyak 10 biji gendang namun perlu melalui pemeriksaan keselamatan di tingkat bawah Stadium Shah Alam pada hari perlawanan nanti.
“Penyokong Kedah akan memasuki stadium menerusi Kuadron B dan C manakala penyokong JDT di Kuadron A dan D dan pintu stadium akan mula dibuka seawal pukul 4 petang pada hari perlawanan,” katanya.