Diundi bersama tiga negara arab dari Timur Tengah – Iraq, Arab Saudi dan Jordan di dalam Kumpulan C di Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan berlangsung pada Januari depan bukanlah apa yang dimahukan oleh Dato’ Ong Kim Swee.

Namun, pengendali skuad B-22 negara itu tidak mahu mencari alasan dan menyatakan peluang tetap seimbang bagi kesemua pasukan justeru mahu mempertaruhkan skuad terbaik untuk melangkah sejauh yang boleh. 

“Kejohanan ini mengumpulkan 16 pasukan terbaik dari seluruh Asia. Jadi kita perlu sentiasa bersedia berdepan siapa sahaja, tiada istilah kumpulan itu mudah, kumpulan ini susah. Semua kumpulan cabarannya adalah sama dan peluang kita ke suku akhir tetap ada.

“Melihat kepada kumpulan kita, sudah tentunya Iraq adalah pilihan kerana mereka sangat bagus di peringkat umur tetapi perlu diingat jurang di antara pasukan yang bersaing di kejohanan peringkat umur tidaklah jauh walaupun kita adalah negara Asia Tenggara.

“Saya melihat undian ini dari sudut positif kerana tiga pasukan yang akan kita tentang semuanya dari Timur Tengah, bermakna kita perlu buat persiapan untuk menentang pasukan yang mengamalkan corak permainan yang lebih kurang sama,” kata Kim Swee yang akan mengumpulkan semua pemainnya untuk latihan pusat pada Disember nanti.

Selain cabaran dari negara ‘pak arab’, antara cabaran lain yang perlu ditangani pasukan negara adalah cuaca sejuk di Changsu sekitar 4-12 darjah celcius.   

Untuk rekod, Malaysia layak ke pusingan akhir kejohanan ini buat kali pertama setelah menjuarai saingan peringkat kumpulan pusingan kelayakan yang berlangsung di Bangkok dengan mengatasi tuan rumah Thailand, Indonesia dan Mongolia meskipun beraksi tanpa enam pemain tonggak iaitu Safawi Rasid, Haziq Nadzli, S.Kumaahran, Syamer Kutty Abba, Matthew Davies dan Norazam Azih.

Di China nanti, Kim Swee dijangka mempertaruhkan skuad sama yang memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -