Kelantan akan turun menentang Melaka United dalam aksi terakhir Liga Super pada Sabtu dengan membawa misi getir wajib menang untuk terus kekal beraksi dalam liga utama bolasepak tanah air itu pada musim depan.
Kelantan ketika ini di kedudukan kedua tercorot dengan 19 mata, di belakang dua pasukan yang turut berjuang untuk kekal iaitu Sarawak (20 mata) dan T-Team (22 mata) namun mereka tidak perlu mengharapkan keputusan perlawanan antara Sarawak dan T-Team yang berentap sesama sendiri.
Apa yang perlu dilakukan barisan pemain The Red Warriors hanyalah menang perlawanan tersebut dan kemenangan dengan defisit satu gol sudah memadai untuk menyelamatkan mereka dari tersingkir ke Liga Premier buat kali pertama selepas sepuluh musim.
Berdasarkan prestasi semasa, jelas ianya sukar buat Kelantan yang mengharungi prestasi buruk gagal merekodkan kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir liga. Kemenangan mereka yang terakhir adalah ke atas Pahang pada 6 Mei lalu. Â
Ianya nyata situasi yang cukup berbeza dengan Melaka bimbingan Eduardo Almeida yang menang kesemua empat perlawanan terakhir Liga Super dan turut menang kesemua tiga perlawanan menentang Kelantan musim ini termasuk dalam saingan Piala Malaysia.  Â
Melaka pastinya turun dengan tekad untuk mengekalkan momentum yang sedia tercipta apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri dan tidak mahu tewas aksi terakhir di Stadium Hang Jebat.
Malah, biarpun presiden baru, Bibi Ramjani Ilias Khan telah mengambil beberapa langkah pro-aktif bagi memperbaiki motivasi dan moral pemain dengan menyelesaikan tunggakan gaji, krisis di kem Kelantan tampak tiada berkesudahan.
Terbaru, konspirasi di kalangan beberapa pemain senior pasukan yang pentingkan diri sendiri menyaksikan ketua jurulatih Zahasmi Ismail direhatkan dan tugasnya dipangku sementara oleh penolong jurulatih dari Thailand, Sathit Bensoh.
Justeru dengan segala kekangan ini adakah pasukan juara Liga Super 2011 dan 2012 ini akan dapat memanfaatkan talian hayat terakhir yang tersedia di hadapan mereka dan merubah nasib sendiri atau mengucapkan selamat tinggal, mengiringi Pulau Pinang beraksi di Liga Premier?
Kelantan, Sarawak dan T-Team – siapakah yang bakal menjadi pemenang pertarungan tiga penjuru ini, sama-sama kita nantikan kesudahan penuh dramatik bagi saingan musim ini pada Sabtu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN