Kelantan Warriors bermula dengan gah namun terpaksa berputih mata gagal mempertahankan kemenangan set pertama dan akur dengan kekalahan 1-2 kepada pendahulu, Penang Black Panthes dalam aksi menarik Sepaktakraw League (STL) Premier yang berlangsung pada Sabtu.
Kekalahan buat pasukan dari pantai timur itu sekaligus menyaksikan skrip tercipta ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam pusingan pertama pada 7 Oktober lalu berulang sekali lagi di mana ketika itu Kelantan Warriors membenarkan Black Panthers bangkit dari kekalahan set pertama untuk menang 2-1.
Turun dengan keyakinan tinggi susulan kejayaan menewaskan Perak Bison pada Jumaat, Kelantan menerusi gandingan tekong Hisyam Mat yang diapit Naim Izani Noor serta Aiman Azwawi mempamer penguasaan gelanggang mantap dan unggul mendominasi set pertama untuk mencatat kemenangan 21-17.
Penang Black Panthers menerusi kelibat Syahir Rosdi sebagai tekong dan diapit oleh Azlan Alias serta Zaim Razali bagaimanapun menafikan hajat besar Kelantan Warriors mencipta kejutan apabila memenangi set kedua 21-17 dan kemudiannya 21-18 di set ketiga.
Dengan sembilan kemenangan dari sepuluh perlawanan, Penang Black Panthers sudahpun jauh meninggalkan pesaing lain di carta liga dan menghampiri gelaran juara buat kali kedua berturut-turut manakala Kelantan Warriors berada di tangga ketiga di belakang Terengganu Turtles.
Sementara itu dalam perlawanan terdahulu, regu ATM Guardians gandingan Hairul Hazizi-Nazuha Nadzli-Khairudin Adenan meneruskan rentak kemenangan mereka dengan menundukkan finalis musim lalu Kuala Lumpur Thunder 2-0 (21-16, 21-19).
Kemenangan menyaksikan ATM Guardians ketika ini melonjak berada di kedudukan keempat manakala Kuala Lumpur Thunder tergelincir ke tangga ketujuh berikutan kejayaan Selangor Pistons menewaskan Terengganu Turtles 2-1 (19-21, 21-15, 21-17) dalam satu lagi aksi.
Bagi Terengganu Turtles ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut mereka yang menyaksikan cengkaman mereka di kedudukan kedua semakin goyah dan perlu segera kembali ke landasan kemenangan jika mahu untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu. –Â OLEH MUHAMMAD AIMANÂ
Keputusan (Sabtu, 28 Oktober) :
ATM Guardians mng Kuala Lumpur Thunder (2-0; 21-16, 21-19)
Selangor Pistons mng Terengganu Turtles (2-1; 19-21, 21-15, 21-17)
Penang Black Panthers mng Kelantan Warriors (2-1; 17-21, 21-17, 21-18)