–foto BERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

Penyokong yang hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Takzim pada Sabtu ini dituntut menunjukkan semangat kesukanan tinggi supaya dapat memastikan kelancaran perlawanan itu nanti.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata bagi mengelakkan terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini, lebih dari 1,500 pegawai dan anggota polis termasuk pasukan khas, unit anjing pengesan (K9) dan Unit Berkuda akan turut ditempatkan untuk mengawal keselamatan secara menyeluruh di Stadium Shah Alam.

“Kita mengharapkan kerjasama semua penyokong supaya berhemah dan menunjukkan sikap yang baik, tidak menimbulkan kekecohan. Kita juga menasihatkan mereka untuk tidak membawa masuk barang terlarang seperti bahan letupan, senjata tajam, suar, batang besi, kayu, pemetik api, paying serta botol air minuman.

“Selain itu, sepanduk dan kain rentang berbaur hasutan, provokasi dan politik juga tidak dibenarkan. Kita juga hanya membenarkan 10 gendang untuk digunakan sepanjang perlawanan itu. Pemeriksaan rapi akan dibuat di setiap pintu masuk dan jika terdapat penyokong yang melakukan kesalahan ini, tindakan tegas akan diambil.”

ACP Shafien berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan keselamatan perlawanan akhir Piala Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Khamis yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Mohd Shazli Shaik Mohd.

Pada sidang media sama, ACP Shafien berkata pihak polis dengan kerjasama FMLLP akan memantau secara serius kegiatan ‘ulat tiket’ dan penjualan tiket palsu.

Seramai 75,000 penyokong dijangka hadir menyaksikan perlawanan akhir kali ini dengan Kedah membawa misi mempertahankan kejuaraan manakala JDT pula memburu gelaran Piala Malaysia yang pertama selepas gagal pada 2014.

“Pintu stadium akan dibuka pada jam 4 petang, penyokong Kedah masuk melalui pintu A dan B manakala penyokong JDT masuk melalui pintu C dan D,” tambahnya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -