Pasukan futsal professional dari Pahang, Kuantan Rangers FC yakin dapat menyediakan sebuah skuad mantap untuk menghadapi pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang dijadual berlangsung pertengahan bulan depan.
Skuad bimbingan Faizul Abdul Ghaffar itu sedang giat memperkasakan pasukan dengan menguji pemain-pemain baru untuk direkrut selain mengadakan aksi-aksi persahabatan berkualiti tinggi termasuklah menentang pasukan futsal kebangsaan, dan terbaru Arab Saudi.
Meskipun tewas kedua-dua perlawanan, Faizul melihat perkembangan ditunjukkan barisan pemainnya dari sudut positif dan berpendapat mereka telah beroleh pengalaman serta pendedahan berguna yang hanya akan menjadikan pasukan itu semakin bertambah baik. Â
“Sasaran utama kita ketika ini adalah layak beraksi di LFK. Kita mengambil serius pusingan kelayakan ini kerana kita tahu ianya bukan mudah dan kita juga tidak mahu gagal sekali lagi apatah lagi telah membuat persiapan selama setahun.
“Saya akui masih banyak kelemahan perlu kami perbaiki, jadi pemain perlu didedahkan dengan perlawanan berkualiti dan kompetitif, keputusan perlawanan tidak begitu menjadi penekanan kerana tewas sekalipun setidak-tidaknya mereka boleh belajar dari setiap kekalahan dan tampil lebih matang,” kata Faizul.
Ketika menentang Arab Saudi yang berada di ranking ke-86 dunia pada Jumaat, Kuantan Rangers tewas 2-8 – mereka ketinggalan 0-5 di separuh masa pertama sebelum bangkit dengan permainan lebih tersusun di separuh masa kedua dan berjaya menjaringkan gol menerusi pemain B-20 kebangsaan Harith Naim Md Nasir serta Khairul Rizuan Harif Pagilah.
Pada bulan lalu, skuad ini telah mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan bimbingan Chiew Chun Yong di Kuantan dan tewas 0-7.
Sebagai memperlihatkan kesungguhan mereka untuk muncul kuasa besar arena futsal tempatan, Kuantan Rangers juga telah membawa masuk dua pemain kebangsaan iaitu Yazid Kamaruzuan dan Akmarulnizam Idris serta pemain B-20 kebangsaan, Iskandar Harun untuk memantapkan pasukan.  Â
Malah, juara Liga Futsal Brunei 2017 itu akan turut menghantar tiga pemainnya iaitu Syafiq Roslan, Iqbal Aikal dan Harith Naim beserta Riduan Abdul Halim (penolong jurulatih) untuk menjalani program penempatan pemain selama dua minggu bersama jaguh Indonesia, Vamos Mataram FC.
“Ini adalah sebahagian dari perancangan pemilik kelab, YAM Tengku Fahad (Muadzam Shah) agar pembangunan pemain-pemain muda tidak terencat. Beliau mahu satu hari nanti Kuantan Rangers bukan sahaja boleh mencabar LFK, tetapi dalam masa sama membekalkan pemain-pemain berkualiti bagi membarisi skuad kebangsaan dan ini adalah langkah awal yang kita laksanakan,” tambah Faizul.OLEH MUHD AIMAN