Johor Darul Takzim (JDT) mencipta sejarah merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama setelah mengecewakan juara bertahan Kedah dalam aksi final di Stadium Shah Alam, pada Sabtu.
Jaringan Aidil Zafuan Abdul Radzak seawal minit kedua dan Gonzalo Cabrera pada minit ke-63 membantu skuad harimau selatan mencatat kemenangan 2-0 sekaligus melengkapkan gelaran berganda buat pasukan itu musim ini setelah turut menjulang Liga Super pada bulan lalu.
Kemenangan juga menyaksikan trofi Piala Malaysia singgah di bumi Johor buat kali pertama selepas 26 tahun, sejak kali terakhir pasukan negeri itu menjulangnya pada 1991 dalam masa sama melengkapkan koleksi trofi dalam kabinet JDT.
Aksi final antara JDT dan Kedah yang berlangsung di hadapan lebih 75,000 penyokong menyaksikan skuad bimbingan Ulises Morais itu berada di depan seawal minit kedua menerusi pemain pertahanan, Aidil Zafuan yang menanduk masuk hantaran sepakan sudut Safiq Rahim.
Gol awal itu menjadikan permainan lebih rancak dengan kedua-dua pasukan cuba mencipta beberapa gerakan berbahaya namun selepas 10 minit pertama berlalu, tempo permainan bertukar menjadi lebih perlahan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Hanya percubaan Ignacio Insa Bohiguez pada minit ke-20 serta Syazwan Zainon pada minit ke-44 mewarnai aksi separuh masa pertama tatkala kedudukan kekal 1-0 menuju rehat. Â
Bersambung separuh masa kedua, skuad lang merah cuba bangkit untuk kembali dalam permainan namun mendapati ianya terlalu sukar untuk memecahkan tembok pertahanan JDT yang dikemudi gandingan Aidil dan Fadhli Shas.
Peluang terbaik Kedah menyamakan kedudukan adalah menerusi tandukan kapten, Baddrol Bakhtiar yang terkena palang pada minit ke-56 pada ketika pergerakan dua pemain import, Ken Ilso Larsen dan Sandro Mendonca dikunci dengan begitu baik oleh Aidil dan Fadhli.
Dalam keghairahan memburu jaringan, gawang Kedah bocor lagi pada minit ke-63 apabila Gonzalo Cabrera merembat masuk hantaran dari Ahmad Hazwan Bakri dari jarak dekat menewaskan penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim. Â
Ianya jelas bukan malam milik Kedah tatkala segala usaha dan kerja keras mereka serba tidak menjadi termasuklah satu lagi percubaan oleh Baddrol yang terkena tiang pada minit ke-68.
Nidzam Adha Yusoff menyuntik sedikit tenaga di barisan depan dengan membawa masuk Farhan Roslan dan Akram Mahinan namun tiada apa yang boleh dilakukan Kedah bagi menterbalikkan keputusan perlawanan dengan JDT ampuh bertahan untuk memastikan kejuaraan milik mereka. OLEH MUHD AIMANÂ
Kesebelasan utama : Â Â Â Â Â
Kedah : Ifwat Akmal Che Kassim, Zachary Anderson, Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi, Ken Ilso Larsen, Sandro Mendonca, Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ariff Farhan Md Isa
JDT : Izham Tarmizi Roslan, Aidil Zafuan Abd Razak (Junior Eldstal, 60’), Safiq Rahim, Hazwan Bakri, Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera, S.Kunanlan, Gary Steven Robbat (Afiq Fazail, 57’), Fazly Mazlan, Fadhli Shas, Ignacio Insa Bohigues