Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) mempertingkatkan ujian doping secara ‘smart testing’ bagi mencegah atlet terlibat dalam penggunaan bahan terlarang atau dadah.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata mekanisme smart testing dilaksana menerusi program ‘Podium’ di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan memberi fokus kepada kategori sukan yang berisiko tinggi dalam penggunaan bahan terlarang.
“Smart testing ini merangkumi ujian air kencing, ujian darah, Athlete Biological Passport dan profil steroid. Atlet-atlet ini akan diuji sekurang-kurangnya enam kali setahun dan diwajibkan memberi maklumat keberadaan kepada Adamas untuk proses pemantauan berterusan.
“Adamas menerusi kerjasama dengan ISN dan MSN juga akan memperbanyakkan program kesedaran kepada atlet dan jurulatih untuk meningkatkan keawasan tentang maklumat terkini mengenai doping, dengan memperkenalkan program pembelajaran online E-Learning yang dinamakan ALPHA (Athlete Learning Program About Health & Anti Doping),” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang ingin tahu mekanisme yang dirancang pihak kementerian bagi menangani masalah doping dalam kalangan atlet negara.
Khairy berkata Adamas akan mempergiat usaha untuk mengurangkan kes doping bagi meneruskan momentum positif, apabila kes doping atlet menunjukkan penurunan daripada 14 kes pada 2016 kepada tiga kes setakat 6 Nov tahun ini.
Katanya, teras utama dalam usaha ini adalah kerjasama erat dengan MSN, ISN, KPM dan badan-badan berkaitan bagi memastikan usaha ini memberi impak menyeluruh.
Menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengenai pengambilan bahan terlarang yang dibenarkan semasa ‘off-season’ (luar musim sukan), Khairy berkata permohonan ‘Therapeutic Use Exemption’ (TUE) perlu dibuat sebelum atlet menggunakannya.
“Saya ambil contoh kes yang melibatkan Datuk Lee Chong Wei pada 2014, apabila beliau didapati positif mengambil bahan yang dikenali sebagai ‘dexamethasone’ yang menyebabkan penggantungan selama lapan bulan. Bahan tersebut boleh digunakan pada waktu ‘off-season’ tapi beliau mengambilnya pada waktu pertandingan dan tidak membuat permohonan TUE.
“Kita ada protokol yang ketat dan telah mengingatkan atlet, jurulatih dan persatuan sukan sekiranya mereka masih lagi memerlukan bahan tersebut, dalam kes Chong Wei ini, bahan itu tersenarai boleh digunakan pada off-season kerana ia bukan ‘performance enhancing’ tapi lebih kepada ‘pain killer’ untuk mengurangkan rasa sakit.
Khairy menegaskan pendedahan dan juga pendidikan perlu diberikan kepada atlet bukan sahaja berkenaan bahan terlarang, malah proses yang telah ditetapkan oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA), namun proses dan prosedur penggunaan bahan itu mestilah jelas dan telus serta permohonan penggunaannya perlu dihantar lebih awal sebelum pertandingan termasuk di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini media melaporkan Chong Wei disahkan positif menggunakan bahan terlarang dikenali sebagai ‘dexamethasone’ dalam ujian yang dilakukan terhadap ‘sampel B’ di Oslo University Hospital di Norway pada 2014.— BERNAMA