Sebaik sahaja saingan Liga Malaysia musim 2017 menutup tirai secara rasmi pada 4 November lalu, pemburuan pemain baru bagi memperkasa, memantapkan pasukan telahpun bermula secara aktif.
Malah, terdapat pasukan yang sebenarnya bergerak aktif sejak sebelum itu lagi dan tidak kurang, ada pasukan umpamanya Kelantan sudahpun mengumumkan awal- awal lagi siapa pemain yang dikekal, digugur dan direkrut.
Langkah ini ada baiknya kerana akan memudahkan pemain-pemain yang digugurkan untuk mencari pasukan baru berbanding memberitahu mereka sehari sebelum perpindahan ditutup sepertimana pernah berlaku di zaman Tan Sri Annuar Musa.
Digugurkan saat akhir, ke mana halatuju pemain ini? Bolehkah mereka mencari pasukan baru dalam masa sehari? Dalam konteks ini, tahniah diucapkan kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang baru di bawah Bibi Ramjani Ilias Khan yang dilihat serius mahu memulihkan imej persatuan itu yang teruk tercalar sebelum ini.Â
Tahniah juga di atas keberanian mempertaruhkan pemain-pemain muda untuk membawa cabaran pasukan The Red Warriors pada 2018, dengan dibantu beberapa pemain tonggak yang dikekalkan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Farisham Ismail, Nik Shahrul Azim dan Badhri Radzi.
Kepada pemain-pemain yang mencari pasukan baru, sama ada anda berstatus bintang yang sudah ada nama besar dalam industri, mahupun yang baru mahu mencipta nama, hati-hati di dalam memilih pasukan, buatlah keputusan tepat.
Sepertimana dinasihatkan oleh Presiden Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang juga bekas pemain kebangsaan, Hairudin Omar, usah terpengaruh dengan tawaran lumayan sebaliknya fikirkanlah mengenai potensi karier anda untuk berkembang serta peluang untuk membuat penampilan secara kerap.
Apa gunanya anda ditawar gaji lumayan dan faedah-faedah yang cukup hebat, tetapi diperam di bangku simpanan, akhirnya prestasi merosot, karier pula di hujung tanduk, hujung tahun digugurkan sekaligus menyukarkan anda untuk meyakinkan pasukan baru yang sudah tentunya mencari pemain berdasarkan prestasi semasa.
Pengurusan pasukan atau kelab juga perlu professional dan belajar dari kesilapan lalu. Kita meminta pemain untuk menjadi profesional, tetapi profesionalkah anda?
Jangan ada pasukan yang berbelanja melebihi kemampuan seterusnya mengakibatkan âvirusâ tunggakan gaji kembali merebak. Jika kemampuan anda untuk memiliki sebuah kereta Proton, usah berlagak seperti anda mampu untuk mendapatkan sebuah Mercedes, buatlah tawaran dengan berpijak pada realiti. Â
Jangan juga memancing pemain semata-mata untuk melambakkan mereka di bangku simpanan, atau sekadar untuk melemahkan kekuatan pasukan lawan. Itu bukan cara âjantanâ, bersainglah secara adil.
Akhir kata, kedua-dua pihak buatlah keputusan yang bijak agar tidak menyesal di kemudian hari menangisi keputusan yang dibuat berpaksikan nafsu.