Perak Bison menjanjikan tentangan sengit kepada kelab Thailand, Manang City Voyagers apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi separuh akhir Sepaktakraw League (STL) Champions Cup di Dewan Majlis Perbandaran Serdang Jaya, Sabtu ini.
Meskipun di atas kertas, Manang City Voyagers yang layak ke separuh akhir dengan rekod bersih tiga kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan dianggap sebagai pilihan, jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail tidak menganggap ianya sebagai satu tekanan.
Sebaliknya, Ismi yang membimbing pasukannya mengakhiri saingan STL Premier di kedudukan ketiga berpendapat barisan pemainnya sudah bersedia turun menyajikan prestasi terbaik.
“Sememangnya dari awal saya harapkan kalau kita layak separuh akhir, mahu jumpa dengan Manang City. Ada pasukan mungkin mahu lari dari jumpa pasukan kuat, tetapi saya tidak begitu kerana saya lihat ini peluang terbaik mengukur sejauh mana tahap dan kualiti pemain-pemain saya.
“Kita sudah biasa jumpa kelab dalam negara, jadi kita sudah tahu tahap mereka dengan pemain-pemain tempatan. Menentang pasukan dari luar yang lebih kuat, akan menjadi satu ujian serta pengalaman baru buat pemain saya. Sudah tentu mereka mahu gunakan peluang ini untuk menampilkan aksi berkualiti dan membuktikan kredibiliti mereka.
“Apapun, saya ingatkan kepada mereka usah fikir soal menang atau kalah. Itu soal nombor dua, sasaran kita ke separuh akhir sudah tercapai jadi sekarang saya cuma mahu mereka berikan segala yang terbaik, kalau kalah sekalipun kita kalah melawan dan puas hati, kalau layak ke final itu satu bonus,” kata Ismi.
Untuk saingan STL Champions Cup, Perak Bison mempertaruhkan kudrat tekong kebangsaan, Meor Zulfikar Mat Amin, Izham Idris, Fadzil Mustafa, Yus Hanif Rosli dan pemain muda berusia 17 tahun Amirul Ramdhan Suhaimi.
Sementara itu, ditanya pendapat Ismi mengenai Manang City, beliau menegaskan bahawa kekuatan pasukan itu dengan pasukan tempatan adalah hampir sama namun faktor utama yang membezakan adalah dari segi kekuatan mental dan kecergasan pemain.
“Umpamanya kalau kita lihat KL Thunder tempoh hari boleh memberi saingan dan mencuri satu set dari mereka. Tewas set pertama dengan melawan, menang set kedua, tetapi bila masuk set ketiga tidak dapat kekal momentum kerana penat.
“Ini membuktikan kekuatan mental dan kecergasan pemain tidak berada di tahap baik sedangkan Manang City guna tiga pemain sama dalam ketiga-tiga perlawanan. Masalah ini dialami kebanyakan pasukan termasuk pasukan Perak sendiri, dan kita perlu menanganinya untuk menjadi sebuah pasukan yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan juara STL Premier Penang Black Panthers dan Kelantan Warriors. OLEH MUHD AIMAN