Selaras dengan matlamat penubuhannya, kelab futsal elit, Kuantan Rangers FC mula memperkasa program pembangunan mereka apabila buat pertama kalinya mengadakan sesi pemilihan bagi pemain berusia bawah 20 tahun.
Sesi pemilihan selama dua hari yang berlangsung pada 1 dan 2 Disember di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan itu yang dikendalikan tenaga kejurulatihan Kuantan Rangers dibuka kepada semua bakat-bakat dari seluruh negara yang berminat mengembangkan potensi mereka dalam sukan futsal.
“Walaupun keutamaan kami adalah anak-anak Kuantan, kami tetap membuka pemilihan ini kepada semua, siapa sahaja boleh sertai pemilihan ini asalkan mereka menepati kriteria utama iaitu bawah 20 tahun. Ini peluang bagi mereka mengembangkan potensi dan terus melangkah mencipta nama sebagai pemain futsal professional,” ujar Presiden kelab itu, Tengku Fahad Muadzam Shah Sultan Ahmad Shah.
Tambahnya lagi, “Sememangnya mengilap dan mengetengahkan bakat-bakat muda menjadi bintang masa depan adalah satu daripada objektif kelab. Ini sumbangan kami bagi menyemarak, memeriahkan dan menambah lebih nilai kepada arena futsal tanah air.
“Kuantan Rangers bukan sahaja menetapkan satu sasaran untuk muncul kuasa besar futsal dalam tempoh 3-5 tahun akan datang, tetapi dalam masa sama membekalkan pemain-pemain berkualiti untuk membarisi skuad kebangsaan sama ada ianya pasukan senior atau peringkat umur.”
Sebagai rekod, pemain paling muda Kuantan Rangers, Harith Naim Md Nasir (17 tahun) telah dipanggil beraksi bersama skuad B-20 kebangsaan yang beraksi di Kejuaraan Futsal B-20 AFC pada Mei lalu dan dia juga telah dipanggil menjalani latihan bersama skuad senior kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2017 pada Oktober lalu.
Mereka kemudiannya menandatangani pemain berusia 17 tahun dari Sarawak, Iskandar Harun pada Oktober manakala dua pemain kebangsaan, Akmarulnizam Idris dan Yazid Kamaruzuan pula telah dibawa masuk untuk memperkuatkan cabaran pasukan selepas berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.  Â
Sebagai inisiatif berterusan untuk memantapkan program pembangunan, pasukan juga telah menghantar tiga pemain –Syazwan Roslan, Harith Naim dan Iqbal Aikal bersama-sama penolong jurulatih Ridhuan Halim ke Indonesia untuk menjalani program penempatan (attachment) selama dua minggu bersama kelab jagoan Indonesia, Vamos Mataram FC.
Dalam pada itu, Kuantan Rangers akan mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 yang dijadual berlangsung bulan ini. Mereka gagal layak ke pusingan akhir LFK tahun ini setelah kandas di pusingan kelayakan (pasukan ini baru sebulan ditubuhkan ketika itu).
Setelah setahun berlalu, pasukan ini telah menunjukkan peningkatan besar antara yang utama adalah mencipta sejarah dengan menjulang Liga Futsal Brunei pada Ogos lalu dengan dibantu kudrat salah seorang pemain futsal terbaik dunia, Rico Zulkarnain.
Ketua jurulatih, Faizul Abd Ghaffar berkata, “Persiapan sedang berjalan lancar, kita juga sedang menilai pemain-pemain baru. Saya akan senaraikan hanya 20 pemain terbaik untuk menggalas cabaran di pusingan kelayakan jadi kesemua pemain bekerja keras untuk membuktikan mereka layak berada di dalam senarai akhir nanti. Tiada masa untuk mereka bermain-main, dan saya percaya masing-masing faham tanggungjawab.” – OLEH MUHAMMAD AIMAN