Meskipun persiapan pra-musim sedikit terjejas dek kerana cuaca buruk, ia tidak menghalang Kelantan memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia apabila menandatangani khidmat pemain import dari Brazil, Cassio Francisco De Jesus.
Pemain berusia 28 tahun itu dipancing dari kelab Liga Indonesia, Semen Padang FC dan kehadirannya sekaligus mengisi kekosongan ditinggalkan Mamadou Fatty Danso seterusnya memperkuatkan barisan pertahanan skuad The Red Warriors.
Cassio Francisco merupakan pemain ketiga menyertai Kelantan selepas terdahulu mereka berjaya memancing pemain Selangor, S.Veenod dan pemain import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun.
Dengan kemasukan Cassio Francisco, Kelantan kini sudah mempunyai tiga pemain import setelah mereka turut mengekalkan khidmat pemain tengah, Morgaro Gomis manakala nasib Seydi L’Imam dan Abou Bakr Al Mel yang masih mempunyai kontrak belum diputuskan.
Mereka juga telah menguji seorang lagi pemain dari Brazil, Thiago Furtuoso selain penyerang Johor Darul Takzim II, Shafiq Shaharudin dan bekas pemain TRW 2007, Amri Fazal Mohd Nor.
Kelantan pada musim 2018 mempertaruhkan kudrat hanya beberapa pemain senior antaranya Khairul Fahmi Che Mat, Farisham Ismail, Badhri Radzi, Nik Shahrul Azim dan Norfarhan Mohamad manakala selebihnya pemain muda yang merupakan produk Piala Presiden pasukan itu.
Khabar angin juga bertiup kencang Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedang berusaha memancing bekas jurulatih Perlis dan Felcra FC, Yusri Che Lah untuk membarisi tenaga kejurulatihan pasukan itu musim depan, bersama-sama seorang lagi bekas pemain kebangsaan Nizarudin Yusof.- OLEH MUHAMMAD AIMAN