Penyerang prolifik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Shahrel Fikri Ahmad Fauzi tidak akan mengubah keputusannya untuk berpindah ke pasukan lain meskipun PKNP akan beraksi dalam Liga Super musim depan.

Shahrel merupakan penyerang tempatan paling menyerlah dalam saingan Liga Malaysia musim ini, dia berjaya meledak 20 gol bersama PKNP dalam semua pertandingan dan lebih menarik merupakan penjaring terbanyak pasukannya di sebalik kehadiran penyerang import, Gilberto Fortunato.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan satu daripada dua penyerang tempatan selain Malik Mat Ariff (Kuantan FA) yang berjaya mengatasi penyerang import dari segi rekod jaringan bersama pasukan masing-masing justeru membuatkannya menjadi rebutan beberapa pasukan elit termasuklah juara Liga Super, Johor Darul Takzim.

Sebelum ini, pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim mengesahkan pemain itu akan berhijrah mencari pengalaman baru bersama pasukan lain namun sejak beberapa hari lalu, dia kelihatan turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan PKNP di Stadium Mini 1Malaysia, Chemor.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan apakah pemain itu telah membatalkan hasratnya berpindah apatah lagi peluang untuknya bermain di dalam kesebelasan utama adalah lebih tinggi jika terus bersama PKNP berbanding pasukan baru.

Shahrel bagaimanapun ada penjelasannya, “Mungkin ramai yang fikir saya ubah keputusan dan kembali berlatih bersama PKNP kerana mereka naik ke Liga Super, sebenarnya bukan begitu. Memang saya sangat gembira PKNP ke Liga Super, ia adalah hadiah kepada aksi luar biasa yang kami tunjukkan sepanjang tahun ini.

“Tetapi saya tetap dengan keputusan untuk berpindah, PKNP juga sudah membenarkannya. Cuma, perbincangan antara PKNP dan pasukan baru yang saya akan sertai masih berjalan, belum dimuktamadkan. Ianya sudah hampir lengkap tetapi selagi belum dimuktamadkan, saya masih lagi pemain PKNP kerana kontrak saya bersama pasukan ini adalah sehingga hujung 2019.

“Itu sebabnya saya masih berlatih bersama mereka, saya terikat dengan kontrak dan sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menghormati dan mematuhinya. Lagipun sebagai pemain professional, saya perlu mengekalkan tahap kecergasan saya, lebih-lebih lagi kita berada dalam musim cuti Liga Malaysia tanpa latihan yang intensif dan perlawanan kompetitif.”

Sebagai rekod, Shahrel Fikri hampir sahaja menggantung but tiga tahun lalu kerana masalah jantung malah dia pernah digugurkan dari skuad Harimau Muda B setelah gagal ujian kesihatan namun dia bangkit membina semula kariernya sehinggalah dipanggil menganggotai skuad kebangsaan pada Ogos lalu.

Antara aksi terbaiknya musim ini adalah ketika suku akhir pertama Piala Malaysia yang mana dia menjaringkan hatrik untuk membantu PKNP mencatat kemenangan 3-1 ke atas Felda United di gelanggang lawan namun PKNP gagal meneruskan kemaraan setelah Felda United bangkit menterbalikkan keputusan di suku akhir kedua.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -