Kejayaan tiga wakil negara, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Cougars B-12, B-13 dan B-14 melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Piala Supermokh yang berlangsung dari 13-17 Disember 2017 membuktikan keberkesanan program pembangunan dipacu Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (PPBN).
Demikian reaksi Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin sambil menyatakan bahawa perkembangan ini menunjukkan pembangunan bolasepak tanah air berada di landasan tepat dan menjanjikan masa depan yang lebih cerah dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Â Â Â
“Ramai yang memberi fokus kepada pasukan B-16 negara yang akan menentukan kelayakan mereka ke Piala Dunia Remaja B-17 tahun depan di kelayakan AFC. Tapi apa yang ramai mungkin tak beri perhatian mereka adalah generasi pertama PPBN. Kita sudah ada 3 ke 4 generasi yang melalui Program PPBN.
“Kita sudah ada 20 ribu pemain di bawah sistem PPBN sekarang, jadi kalau dulu kita lihat satu generasi sahaja seperti Harimau Muda mewakili pasukan kebangsaan pada hari ini, sekarang kita lahirkan generasi demi generasi untuk pastikan pelapis kita sentiasa cukup untuk diketengahkan sebagai pemain bolasepak di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Ini yang kita harapkan, sumbangan kita kepada transformasi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang sedang berlaku, FAM juga banyak buat perubahan, kita sediakan ramuan mentah, pemain-pemain mentah dan setiap tahun kita menambah pemain muda ini untuk diserap ke sistem FAM nanti,” kata Khairy.
Tambahnya lagi, “Sebab itu saya selalu kata kita kena sabar, kena bagi masa 5-10 tahun, kita bukan cakap kosong, ini buktinya. Mungkin orang ramai tidak nampak, mereka yang mengkritik secara lantang, mereka tak nampak pembangunan kita buat, tetapi mereka yang mengikuti NFDP tahu bahawa masa depan lebih cerah dari hari ini dengan sistem pembangunan sepertimana yang ada ini.
“Corak permainan mereka jauh berbeza, mereka tak main bola hantaran jauh yang tiada arah dan sebagainya, mereka ada falsafah permainan jelas, boleh pegang bola, cari ruang, memang jauh berbeza dari zaman dulu.”
Khairy bercakap kepada pemberita selepas hadir menyaksikan AMD Malaysia Cougars B-14 mara ke final setelah mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab dari Perancis, Paris Saint Germain (PSG) dalam aksi separuh akhir di Majlis Sukan Negara, Bandar Sukan Bukit Jalil.Â
Mengenai Kejohanan Piala Supermokh yang memasuki edisi keempat ini, Khairy menyifatkannya sebagai kejohanan remaja terbaik di Asia Tenggara dan melihat tiada masalah untuk ianya terus dianjurkan pada tahun-tahun akan datang.
“Tidak ada kejohanan jemputan sepertimana Piala Supermokh di negara lain. Negara atau Kelab yang datang ambil bahagian bukan calang-calang, umpamanya PSG, Arsenal, Sporting Lisbon, Kashima Antlers, itu hanya tahun ini.
“Tahun sebelum ini penglibatan banyak lagi akademi bertaraf antarabangsa, termasuklah Aspire Academy dari Qatar yang banyak melabur untuk membangunkan pemain remaja di Qatar dan timur tengah. Kita akan teruskan dengan Piala Supermokh sebagai kejohanan yang dinanti-nantikan di penghujung musim dan menjadi penutup kepada musim NFDP di Malaysia,” ujar Khairy.
Dalam aksi final pada Ahad, AMD Malaysia Cougars B-14 akan menentang Arsenal FC, skuad B-13 menentang wakil Belgium AZ Alkmaar dan skuad B-12 pula menentang kelab Portugal, Sporting CP dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Bukit Jalil. Â
Skuad AMD Malaysia Cougars B-12 mara ke final dengan menewaskan wakil Jepun, Kashima Antlers FC 2-1 sementara skuad B-13 mara, juga dengan menewaskan PSG 4-2 menerusi penentuan penalti. – OLEH MUHAMMAD AIMAN