Juara Liga Super, Johor Darul Takzim membawa masuk pemain import dari Brazil, Bruno Gabriel Soares sebagai pengganti jangka panjang kepada pemain pertahanan, Marcos Antonio.
Kenyataan dalam laman sosial rasmi pasukan itu mengatakan bahawa pemain berusia 29 tahun itu yang berpengalaman beraksi di Brazil, Jerman, Norway dan Israel diletakkan dalam senarai āstandbyā untuk didaftar beraksi bersama JDT seandainya Marcos yang sedang menjalani pemulihan Anterior Cruciate Ligament (ACL) tidak sempat cergas sepenuhnya sebelum musim bermula.
Jika Marcos, juga pemain kelahiran Brazil yang bermain dengan harimau selatan sejak 2014 berjaya kembali ke dalam skuad, Bruno dilaporkan akan bermain bersama skuad JDT II yang beraksi dalam Liga Premier dan khidmatnya hanya akan digunakan JDT sekiranya keadaan memaksa.
Ketiadaan Marcos di pertahanan JDT jelas menjadi kebimbangan penyokong-penyokong mereka apatah lagi dia telah memainkan peranan penting dan dianggap sebagai jantung pertahanan JDT sejak empat musim lalu.
Dengan pasukan bimbingan Ulises Morais itu akan beraksi di kelayakan Liga Juara Asia, kudrat Marcos sudah tentunya cukup signifikan namun dalam masa sama wujud satu lagi kebimbangan lain ā adakah pemain berusia 34 tahun itu dapat menterjemahkan prestasi terbaiknya apabila kembali dari kecederaan nanti?
Justeru keputusan harimau selatan merekrut Bruno Soares seolah mahu memberikannya pendedahan lebih awal dan membantunya menyesuaikan diri dengan suasana dalam Liga Malaysia, lebih penting sentiasa bersedia apabila khidmatnya ditagih.
Selain Marcos dan Bruno, pemain import lain JDT adalah dua bekas pemain mereka Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz yang ditandatangani semula manakala Hariss Harun pula kembali memperkuatkan pasukan setelah semusim menimba pengalaman di Sepanyol.
Pemain berdarah kacukan Malaysia-Kanada , Corbin Ong pula akan didaftar sebagai pemain tempatan seperti mana Natxo Insa, Darren Lok dan Junior Eldtal. – OLEH MUHAMMAD AIMAN