Kuala Lumpur boleh mendabik dada sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam saingan 100PLUS Liga Premier musim ini, dengan penyerangnya Guilherme De Paula dinobatkan selaku pemenang kasut emas dengan meledak 27 gol dalam saingan liga dan 30 gol dalam semua pertandingan.

Ianya satu rekod yang cukup gah dan bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak yang baru direkrut skuad warga kota mengidam mahu menjadikan sentuhan barisan depan pasukan itu lebih menyengat musim depan.

“Fokus saya ketika ini adalah meningkatkan kecergasan dan prestasi, dan meyakinkan jurulatih untuk memberi saya penampilan dalam kesebelasan utama. Jika diberi peluang, sudah tentu saya mahu gunakan sebaik mungkin pengalaman untuk mencipta gandingan yang baik bersama De Paula di posisi serangan.  

“Bagaimanapun, kita bermain sebagai satu pasukan. Pasukan ini masih ada Indra Putra, Manaf (Mamat), jadi siapapun yang diturunkan, saya berkeyakinan barisan depan KL boleh menjadi lebih mantap dan lebih baik dari musim 2017,” katanya. 

Zaquan pada musim 2017 mewakili Perak dan membantu pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia. Pemain berusia 30 tahun ini juga pernah menyarung jersi negeri kelahirannya Negeri Sembilan, ATM dan Johor Darul Takzim II.

Kuala Lumpur pada musim ini muncul juara Liga Premier dengan mengecewakan Terengganu dan kembali ke kancah Liga Super selepas lima musim tersisih. Jurulatih, Fabio Maciel Da Silva sebelum ini memaklumkan bahawa latihan pasukan itu menuju ke fasa intensif pada tahun baru dan skuad City Boys itu akan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan.

Paling terdekat adalah menentang PKNS FC pada Sabtu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.    OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -