Selepas begitu yakin akan dapat menandatangani khidmat ketua pasukan Filipina, Misagh Bahadoran, Kelantan berputih mata apabila pemain itu menolak tawaran mereka sebaliknya membuat keputusan untuk bermain dengan Perak.
Ia hadir sebagai satu lagi tamparan buat pasukan The Red Warriors itu yang turut terlepas khidmat penyerang dari Croatia, Marko Simic yang memilih untuk menyertai kelab Indonesia, Persija Jakarta walaupun satu ketika dilihat sudah begitu hampir untuk menjadi milik mereka.
Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, “Sebelum ini memang kita telah menyediakan tiket untuknya datang ke Kota Bharu dan menandatangani kontrak, tetapi dia membuat keputusan menolak pada saat akhir kerana mahu bermain dengan pasukan lain.
“Kita sebenarnya tidak kisah dengan pasukan mana dia nak bermain, itu hak dia, dia berhak buat keputusan tetapi apa yang mengecewakan perkara itu sepatutnya dimaklumkan lebih awal. Benda sudah terjadi, kini kita alihkan tumpuan pada pemain lain, kita memang ada calon yang turut mempunyai rekod baik.”
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis ramah mesra KAFA dan pemain Kelantan bersama penyokong di kediamannya di Kota Bharu pada Jumaat. Majlis itu dihadiri lebih 2,000 penyokong setia TRW.
Bibi Ramjani turut memaklumkan bahawa KAFA telah mengikat pemain kelahiran Brazil, Bruno Lopes selama setahun untuk memperkuatkan barisan depan pasukan itu sebagai menggantikan Simic.
“Ketika ini Lopes masih berada di Brazil dan wakil kami di sana telah berunding dan menandatangani perjanjian persefahaman (mou) dengannya. Dia akan dibawa ke Kota Bharu untuk menandatangi kontrak secara rasmi dalam masa beberapa hari lagi,” katanya lagi.
Persiapan pra-musim Kelantan ketika ini menurutnya berjalan lancar dan mereka sedang giat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan tiga penjuru Sportfix Super Cup yang turut membabitkan Persija Jakarta dan Ratchaburi FC, dijadual berlangsung dari 13-20 Januari depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN