Selepas menutup kalendar 2017 dengan beberapa siri kejayaan, pasukan berstatus benua, Sapura Cycling akan membuka tirai 2018 dengan perlumbaan Jelajah Indonesia yang dijadual berlangsung dari 25 – 28 Januari.
Perlumbaan kedua dalam siri jelajah Asia selepas Jelajah Sharjah di Emiriyah Arab Bersatu, UAE bakal mempertandingkan 16 pasukan termasuklah Sapura Cycling.
Selain TSC, dua lagi pasukan dari Malaysia yang dijangka mengambil bahagian adalah Terengganu Cycling (TSG) dan skuad kebangsaan.
Acara ini melibatkan jarak keseluruhan 604.7 kilometer bermula dari Jogjakarta dan tamat di Denpasar.
Bagi pengurus pasukan Sapura Cycling,Mohd Sayuti Mohd Zahit, pemilihan bagi pelumba yang akan ke Indonesia hanya akan diputuskan selepas ujian yang akan dijalankan kelak.
“Masih terbuka kepada semua pelumba untuk buktikan kemampuan. Senarai pelumba akan diumumkan selepas ujian pada 18 Januari nanti,”kata Sayuti.
Tambah Sayuti lagi, meskipun tiada sasaran khusus diletakkan kepada pasukan, Sayuti tetap mengharapkan pelumba pelumba untuk meraih kemenangan di salah satu peringkat selain memburu kelompok lima terbaik bagi kategori pasukan.
Dua pelumba negara, Muhammad Zawawi Azman dan Adiq Hussaini Othman antara yang mungkin berada di dalam radar untuk dibawa ke Indonesia kelak.
Zawawi dan Adiq antara pelumba negara yang mungkin akan beraksi di Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2018.
Acara trek akan berlangsung di Velodrom Kebangsaan di Nilai manakala acara lebuhraya menyaksikan Myanmar dipilih sebagai tuan rumah.
Malah, Jelajah Indonesia bakal disertai pelumba pelumba dari negara Asia yang akan menyertai ACC 2018.
“Jelajah Indonesia penting bagi mereka berdua sebagai persiapan terakhir dari segi fizikal dan mental untuk ACC. Menerusi perlumbaan ini, kita akan lihat beberapa elemen seperti kelajuan, endurance dan kekuatan.
“Selain itu kemungkinan sekitar 60% pelumba yang menyertai Jelajah Indonesia akan meyertai ACC,”kata Sayuti lagi.
Sejurus kembali dari Indonesia, barisan kejurulatihan dan pengurusan akan menilai peningkatan dan kelemahan yang ada pada pelumba.
“Kita akan menganalisa kelemahan dan kekuatan serta menambah baik sebarang kekurangan dengan kadar segera.
“Pada masa yang sama, kita akan dapat lihat kemampuan pihak lawan yang akan beraksi di ACC dan melakukan perancangan untuk mengatasi mereka nanti,”katanya lagi.
ACC 2018 menjadi salah satu platform penting untuk memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. – OLEHÂ KU MOHD LUFTI